Wednesday 9 September 2020

Sajak: Syukur Penenang Hati

Di bawah Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra, Nur Anishaa Amilia Bt Mohd Azman mewakili sekolah ke Pertandingan ADNI (Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020. 




Tema : Bersyukur

Tajuk : Syukur Penenang Hati


Syukur,

Ungkapan yang sering diamati,

Difahami oleh setiap jiwa hakiki,

Tetapi sukar untuk dihayati.


Ujian pasti ada untuk setiap insan,

Tatkala diri menimpa duka,

Pasti kan terdetik di jiwa,

Kenapa ?

Kenapa hanya aku yang diduga ?


Kita sering mendongak ke langit,

Sentiasa membanding diri,

Dengan insan yang tidak diuji,

Tapi,

Pernahkah kita menunduk ke bumi ?

Melihat ujian yang tidak terperi,

Bahkan dilalui oleh insan yang tidak mengerti,

Tetapi harapan mereka tidak pernah terhenti,

Kerna mereka pasti,

Bantuan akan ada dari Illahi,

Apabila tiba saatnya nanti.


Marilah kita bermuhasabah diri,

Mengenali erti mensyukuri,

Meletakkan Yang Maha Esa di dalam hati,

Pasti hati tidak akan mati,

Kerana kita tahu mensyukuri.


Tuesday 8 September 2020

Puisi Cinta Malaysia

Pertandingan ADNI ( Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020 ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra. Tahniah Nur Amalina by Halimazhar dari kelas 5 Akaun.





Cinta Malaysia


Malaysia berdaulat Tanah  Malaya,

1957 mula merdeka,

Nenek moyang bergadai harta,

Agar cucunda terlepas derita.


Kasihnya dahulu pemimpin kita,

Berjuang bukan kerana harta,

Sanggup berkorban jiwa dan raga,

Melayu tak hilang Islam dijaga.


Pemimpin silih berganti,

Aspirasi negara tidak terhenti,

Rakyat jelata teguh berdiri,

Menggerak memajukan ekonomi negeri.


Bersatu hati tak kira masa,

Aman harmoni berbilang bangsa,

Elak sengketa musyawarah sentiasa,

Barulah pelabur datang menerpa.


Bangga menjadi anak Malaysia,

Penggerak pendokong wawasan negara,

63 tahun bebas merdeka,

Malaysia prihatin mashyur sedunia.

Tuesday 1 September 2020

SEMANGAT PATRIOTIK TETAP BERSEMARAK WALAU HARI MERDEKA PPKI SMK JUGRA DISAMBUT SEDERHANA


VIDEO SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PPKI SMK JUGRA


Semangat patriotik tetap bersemarak bagi anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi  SMK Jugra biarpun sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 diadakan secara tertutup dalam norma baharu berikutan penularan virus Covid-19. Sambutan ini diadakan di lobi PPKI SMK Jugra pada 28 Ogos yang lalu. Seramai 30 orang murid dan semua guru PPKI SMK Jugra terlibat dalam sambutan ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor, lagu Sekolah dan lagu-lagu patriotik. Puan Vasundara Devi a/p Perumal Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Jugra berasa sungguh gembira dan bersemangat ketika melaungkan merdeka!

 "Pada saya, sambutan kali ini adalah sangat positif.  Walaupun dalam kita mengamalkan SOP, namun kita berjaya melaksanakan sambutan ini dengan meriah. Merdeka! Merdeka! Merdeka!" kata Cikgu Zul Husni salah seorang guru PPKI SMK Jugra. 

Seorang murid PPKI bernama Amir pula menyatakan perasaan sungguh gembira meraikan Hari Kemerdekaan bersama rakan-rakannya. 


Disediakan oleh,

Cikgu Suzie