Saturday 13 February 2021

WAJIB BACA AMANAT BONDA PUAN HAJAH ROSSITA KEPADA SEMUA CALON SPM SESI 2020

AMANAT PENGETUA

Assalamualaikum dan salam sejahtera anak-anak didik Tingkatan 5 tahun 2020.
Apa khabar semua? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat.
Tarikh keramat 22.2.21 merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua calon SPM 2020 untuk menghadapi peperiksaaan SPM dalam suasana norma baharu.

Puan Hajah Rossita binti Ramlan
Pengetua SMK Jugra
Yakinlah pada diri dan mulalah mencipta sejarah hidup yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya-Allah, Bonda yakin kalian akan beroleh kejayaan sesuai dengan usaha yang dilakukan. Perahu di tangan anda. Pendayung juga di tangan anda. Mudiklah perahu itu ke muara dengan selamat agar dapat mencapai matlamat anda. 
haran kesihatan. Elakkan keluar rumah tanpa urusan penting. Ingat “kita jaga kita”. Didoakan semua anak didik SMK  Jugra dan seluruh Malaysia dapat menduduki Peperiksaan SPM dengan tenang dan tenteram. Ingat pesanan Cikgu Mohd Firdaus mengenai keselamatan peperiksaan SPM 2020.  Buat persiapan awal, contohnya sebelum tidur kad pengenalan dan alat tulis sudah siap sedia dimasukkan ke dalam beg sekolah. Tidur awal supaya boleh bangun awal dan datang ke pusat peperiksaan awal agar  tenang dalam menghadapai peperiksaan SPM.

Segala input, pihak sekolah telah berikan dan pelbagai kaedah pembelajaran telah pun dilaksanakan demi mencapai kecemerlangan anak-anak didik SMK Jugra. Guru-guru juga telah memberi ilmu dalam pelbagai bentuk dan kaedah supaya murid-murid terus bersemangat dan tidak berasa jemu mencapai kecemerlangan. Selain tugas hakiki, guru-guru telah melaksanakan SJOT ( SMK JUGRA ONLINE TEACHING)  sebanyak 31  kali khusus untuk anak-anak  didik SPM 2020 mulai   8.12.20 dengan tagline “ Daripada guru Jugra untuk murid-murid Jugra”. SJOT adalah yang program pertama yang di laksanakan di Daerah Kuala Langat. Tuan PPD Kuala Langat sangat teruja dan berminat dengan SJOT ini sehinggakan terdapat pegawai PPD yang ingin menyaksikan sendiri teknikal SJOT ini dijalankan. Kelas tambahan pun sudah dilaksanakan walaupun hanya 5 hari untuk tahun 2021 kerana arahan sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM 2020 berakhir pada 9.2.21. Insya-Allah akan di sambung semula jika terdapat permintaan daripada  anak didik sekalian namun perlu patuh SOP dan berdisiplin serta istiqomah mematuhi peraturan yang telah gariskan.  Kehadiran ke kelas tambahan hendaklah mengikut masa yang ditetapkan. Kini terpulang kepada anak-anak didik  untuk mencuba sedaya upaya bagi mengangkat prestasi sekolah ke tahap yang lebih baik dalam SPM 2020 secara norma baharu.

Jangan lupa bahawa subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah mata pelajaran yang wajib lulus. Harapan kami menggunung tinggi terhadap anak-anak sekalian agar dapat melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020. Hasrat sekolah ataupun target yang ingin dicapai pada tahun 2020 ialah meletakkan peratus kelulusan sebanyak 74.10% brbanding tahun 2019 iaitu hanya 69.75% dengan GPS sebanyak 5.38 berbanding  5.89 pada  tahun 2019. Jadikanlah kejayaan itu nanti, sebagai pencetus kepada kejayaan-kejayaan generasi yang seterusnya.

 

Bonda  mengambil kesempatan ini untuk mendoakan semoga anak-anak didik SMK Jugra  diberikan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab kesemua soalan dengan baik seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan diri dan emosi . Jangan wujudkan konflik, stress dan sebagainya kerana tindakan tersebut akan mengundang masalah dan menjejaskan persediaan anda semasa menghadapi peperiksaan. Rakan adalah aset yang sangat berharga ketika ini kerana daripada mereka anda boleh memohon bantuan dan berkongsi pandangan tentang sesuatu perkara.

 

Di samping itu, jagalah hubungan anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu , dorongan, rangsangan kepada anak-anak iaitu, guru-guru. Jika masih belum memohon maaf dan restu daripada guru , sila lakukan dengan segera. Memohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka dengan pandangan hormat dan penuh taat. Sebenarnya para guru yang mencurahkan bakti dan tenaga sangat mengambil berat tentang pencapaian anak-anak didiknya dalam peperiksaan . Anak-anak didik  dan guru sememangnya berusaha bersama-sama dalam menentukan sejauhmana pencapaian anak-anak didik  dapat dipertingkat sama ada dalam bentuk penambahan markah atau penambahbaikan gred mata pelajaran. Semua guru mahu anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. Bonda sentiasa menganggap anak-anak didik SMK Jugra bagaikan anak sendiri dan bonda percaya guru-guru lain juga begitu. Dalam proses mendidik sudah tentu yang salah ditegur, yang tidak betul dimarahi. Itulah asam garam dalam menuntut ilmu. Namun, semua guru tidak pernah melupakan anak-anak didik semasa berdoa kepada-NYA kerana kejayaan anak-anak didik adalah kejayaan para guru dan SMK Jugra khususnya. 

Seterusnya , jagalah hubungan anda dengan ibu bapa. Dapatkan keredaan ibu dan ayah, supaya doa mereka mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka. Sesungguhnya doa ibu bapa kita yang ikhlas itu amat mujarab dan pastinya doa yang ikhlas itu datangnya daripada kalbu ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. 

Jangan lupa jagalah hubungan kita dengan Allah. Yang bukan Islam berdoalah kepada Tuhan mereka. Berdoalah kepada-Nya semoga segala usaha kita mendapat berkat dan hidayah daripada-NYA. Berdoalah untuk diri sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan yang lain. Kejayaan mereka juga merupakan kejayaan kita bersama. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan, pastinya yang akan membuahkan hasilnya hanya Allah SWT. 

Cerdik pandai ilmuan Islam, Luqman Al-Hakim pernah berkata “ ilmu tanpa restu guru ibarat si pejuang tanpa senjata. Ilmu tanpa restu keluarga ibarat si pejuang tanpa bala tentera dan ilmu tanpa restu sahabat taulan ibarat si pejuang tanpa kubu dan bentengnya”.

 

Akhir kata jaga kesihatan dan keselamatan diri. Jaga SOP. Jujurlah dalam membuat pengisytiharan kesihatan. Elakkan keluar rumah tanpa urusan penting. Ingat “kita jaga kita”. Didoakan semua anak didik SMK  Jugra dan seluruh Malaysia dapat menduduki Pep SPM dengan tenang dan tenteram. Ingat pesanan Cikgu Mohd Firdaus mengenai keselamatan pepriksaan SPM 2020.  Buat persiapan awal, contohnya sebelum tidur kad pengenalan dan alat tulis sudah siap sedia dimasukkan kedalam beg sekolah. Tidur awal supaya boleh bangun awal dan datang ke pusat peperiksaan awal agar  tenang dalam menghadapai peperiksaan SPM.

SELAMAT BERJAYA.


Doa Untukmu,

Puan Hajah Rossita binti Ramlan



Thursday 11 February 2021

"KEMERDEKAAN"

 

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri  sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-63 bersamaan tanggal 31 Ogos 2020 yang bertemakan "Malaysia Prihatin" akan menjelang tidak lama lagi. Sebagai salah seorang anak bangsa, kita mesti mengetahui tujuan hari kemerdekaan disambut serta kebaikan dan kepentingannya.  Bahkan ia juga merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan kenang oleh seluruh lapisan masyarakat yang mencintai negara ini.

            Oleh itu, kita mesti menggalakkan masyarakat untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini. Antara usaha dominan ialah ketika murid-murid berada di bangku sekolah, guru memainkan peranan penting untuk memberi didikan kepada  mereka bagi mengethui erti semangat patriotik agar ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian murid.  Bak kata peribahasa melayu "melentur buluh, biarlah dari rebungnya".

          Pada masa yang sama juga, kita dapat melahirkan masyarakat yang tidak mencemerkan imej negara seperti menghina atau memburuk-burukkan negara sendiri. Bukan itu sahaja, pelbagai pertandingan juga akan dianjurkan oleh pihak berwajib seperti mengibarkan jalur gemilang di atas jalan raya ketika perbarisan, menghias kenderaan, melukis poster, pertandingan menulis esei, mewarn dan sebagainya. Aktiviti yang pelbagai ini akan disertai oleh pelbagai bangsa ketika hari kemerdekaan akan mengeratkan lagi hubungan silatruahim antara mereka.

          Oleh hal yang demikian, kita dapat memupuk semangat  perpaduan kaum dalam negara kita. Maka, terciptalah pengalaman menghayati dan mencintai kemerdekaan dengan lebih bermakna dalam diri masyarakat kerana tak kenal maka tak cinta. Selain itu, sambutan hari kemerdekaan juga menjadikan masyarakat memahami sebuah erti perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air kerana mereka merupakan pejuang terbilang untuk menegakkan kemerdekaan tanah air negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa besar. Oleh hal yang demikian masyarakat dapat menghargai dan mengenang jasa-jasa pejuang tanah air kerana perjuangan mereka seperti hancur badan dikandung tanah dan ibarat lilin yang membakar diri sanggup berkorban demi harta, nyawa, tenaga dan meninggalkan insan sekeliling yang disayangi serta dicintai demi kemerdekaan negara tercinta ini.

 

          Jasa dan pengorbanan mereka ibarat gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang. Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat dalam negara ini haruslah bekerjasama antara satu sama lain untuk berazam agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sehingga generasi seterusnya.

          Tuntasnya, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik dalam negara ini perlulah diteruskan sepanjang masa tanpa mengira penat lelah agar semangat patriotik dalam diri masyarakat tidak terhenti. Dengan ini, negara dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai perasaan cinta akan negara. Juga, masyarakat mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan serta mampu memajukan ekonomi mahupun perpaduan negara sehingga negara dapat mencapai kemajuan yang bertaraf dengan negara lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dipupuk sejak bangku sekolah, pastinya negara akan menjadi kacau bilau. Tidak akan wujud masyarakat bersefahaman antara satu sama lain sehingga pergaduhan mula tercetus. Umum untuk mengetahuinya bahawa semua pihak perlu bekerjasama seperti peribahasa melayu bersatu kita teguh, bercerai kita roboh agar masyarakat berjaya memupuk sikap semangat patriotik sehingga mampu diwarisi dalam negara ini.

 

Jenis pertandingan: Esei
Tajuk: Kemerdekaan
Nama: Rossalinda bt Roslan
Kelas:4 Akaun
Alamat email: alhss320@gmail.com

Esei yang dihasilkan murid ini berjaya memenangi johan dalam pertandingan penulisan esei bertemakan kemerdekaan tahun 2020. Tahniah dan syabas.