Tuesday 30 June 2020

Selepas Buletin Temasya, TV Temasya SMK Jugra pula bakal dilancarkan



'Norma Baharu Warga Jugra Berilmu' merupakan  suatu program yang akan dilaksanakan guru-guru SMK Jugra bagi menghidupkan kembali medan perjuangan menuntut ilmu di sekolah ini. Langkah mewujudkan TV Temasya adalah bertepatan pada saat dan tika ini , di mana guru-guru berada di sekolah manakala anak-anak murid berada di rumah.  Kita nantikan kemunculan TV Temasya yang menggunakan  streamyard youtube bagi meluaskan ruang dan peluang murid-murid menyaksikan guru-guru mereka. Tahniah warga Jugra!!! Kita nantikan program terbaru dalam masa terdekat.

Tuesday 23 June 2020

Video Simulasi. Selamat Kembali Ke Sekolah Episod 2.

Pembikinan Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah SMK Jugra pada hari ini sehari sebelum sekolah dibuka yang dijadualkan keesokan hari(Selasa 24 Jun 2020) mendapat sambutan daripada guru-guru dan murid-murid. Setelah murid bercuti selama 104 hari murid tingkatan 5 akan kembali bersekolah seperti biasa. Video yang berdurasi selama 7 minit 24 saat ini dilakonkan oleh guru-guru SMK Jugra. Jaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan patuh kepada prosedur yang diarahkan. 

Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah

Video Taklimat pada waktu pagi

Sunday 21 June 2020

Belakang Tabir Program Al Quran Di Hatiku

    Tabir sudah siap dipasang. Cikgu Yati membantu Cikgu Amy , Cikgu Zah dan Cikgu Nor memasangkan langsir biru tua di bilik Temasya. Semua tersenyum puas. Dalam hati Cikgu Zah "mesti Naqib kelihatan segak semasa siaran nanti" "Muridnya pakai baju warna apa?" Tanya Cikgu Yati. Semua berpandangan. Cikgu Nor cepat-cepat menekan nombor Naqib. "Assalamualaikum Naqib". "Waalaikumussalam Cikgu". "Naqib sudah sampai di mana ni?" "Saya berada di Morib." "Oh. Alhamdulillah. Cikgu nak tanya ni. Naqib memakai baju warna apa ya?" dalam hati berharap bukan berwarna biru tua. "Saya memakai baju berwarna biru". Alamak dalam hati mungkin biru muda. Cikgu Nor sudah risau. "Naqib pakai baju biru apa?" "Oh. Biru tua Cikgu". Bulat mata Cikgu Amy mendengar jawapan Naqib. Semua ketawa kerana berasakan ia lucu apabila membayangkan Naqib akan bersiaran langsung berbaju biru tua dan berlatarbelakangkan tabir biru tua juga. Mesti yang kelihatan hanya muka dan yang lain tenggelam dalam warna yang sama. Masa untuk bersiaran langsung hanya tinggal 20 minit. Cikgu Yati, Cikgu Nor dan Cikgu Amy perlu segera memasang semula tabir yang baru berwarna merah. Mujurlah soalan cepu emas oleh Cikgu Yati mengingatkan tentang warna pakaian Naqib. Banyak perkara perlu diambil serius untuk memastikan program bersiaran secara langsung berjalan lancar. Idea asalnya hanyalah untuk mengadakan program secara google meet. Cikgu Nor meletakkan Buletin Temasya SMK Jugra penganjur bersama Pergerakan Puteri Islam , Persatuan Agama Islam, Unit Kokurikulum dan Persatuan Ibu Bapa SMK Jugra bagi program kali ini . Pada 8 Jun Cikgu Nor menghubungi Ustazah Ida, Cikgu Zah dan Cikgu Amy. Tenaga pengajarnya iaitu Ustaz Raman telah bersetuju. Tiga orang murid juga telah bersetuju. Tajuk program yang asal iaitu Program Tadabbur Al Quran di Hatiku telah ditukar kepada Program Al Quran Di Hatiku Siri 1 Surah Al Fatihah. Pada 9 Jun 2020 Cikgu Nor bertukar fikiran dan mencadangkan kepada jawatankuasa supaya hanya orang penting sahaja menggunakan meet dan ditayangkan secara langsung melalui youtube dan facebook. Pada 11 Jun 2020 percubaan menggunakan google meet mempunyai kelemahan apabila siaran langsung tidak mengeluarkan audio di youtube. Namun semua ahli jawatankuasa tidak patah semangat, malah meneruskan usaha dengan Cikgu Zah cuba menghubungi Abeymat setiausaha e-Didik. Setelah membuat perkongsian ilmu, pihak e-Didik menawarkan pula khidmat untuk bersama-sama menjayakan program ini secara percuma. Sungguh bertuah apabila e-Didik akan turut sama menjadi penganjur bersama program ini.

    Siapa sebenarnya e-Didik? E-Didik adalah sebuah kumpulan yang diasaskan di bawah team sekumpulan sukarelawan guru dan merupakan sebuah team yang menawarkan altenatif sokongan pendidikan kepada para guru di seluruh Malaysia secara percuma. Antara inisiatif yang ditawarkan ialah ID G-Suite menggunakan domain @edidik.edu.my , penganjuran bengkel-bengkel pendekatan,strategi,teknik dan kaedah pengajaran yang membantu guru dalam PdPc, penghasilan modul dan tutorial berasaskan teknologi pendidikan seperti e-rph, m-sims dan PBD online, khidmat jurulatih-jurulatih professional dalam bidang teknologi pendidikan dan pedagogi. Guru boleh membuka akaun di @edidik.edu.my yang mempunyai unlimited storage. Percubaan demi percubaan telah dibuat namun masih banyak kelemahan. Lebih empat kali rehearsal diadakan bersama Cikgu Nor sebagai penyelaras program , Ustazah Ida sebagai Ketua Dakwah, Cikgu Zah sebagai penyelaras on-air dan rakaman, Cikgu Amy sebagai Ketua Pendaftaran dan Sijil, Puan Liana sebagai Ketua Grafik dan Ustaz Raman sebagai Penceramah. Tiga orang murid yang terpilih iaitu Zahir sebagai moderator, Naqib pembaca Surah Al Fatihah dan Aleeya pula dilatih untuk membacakan terjemahannya. Ketika membuat percubaan banyak masalah yang dihadapi . Di antaranya ialah sambungan internet terputus ketika membuat siaran langsung, capaian internet yang perlahan menyebabkan audio dan video yang tersangkut-sangkut, telefon tiba-tiba tidak berfungsi, data internet murid yang tidak mencukupi untuk menyertai streamyard secara langsung. Setelah yakin dengan semua ahli jawatankuasa dan dengan adanya bantuan daripada e-Didik, Cikgu Nor memilih 18 Jun 2020 jam 10.00 pagi sebagai waktu untuk program ini bersiaran secara langsung dan disiarkan ke seluruh negara. Pengetua Puan Hajah Ros juga telah bersetuju. Iklan dan poster juga telah disiarkan di Buletin Temasya SMK Jugra, group telegram, facebook dan instagram. Pada hari Selasa 16 Jun 2020, rehearsal bersama Jurulatih Utama e-Didik iaitu Ustaz Dee diadakan. "Suara Zahir kuat dan jelas. Tetapi latarbelakang Zahir berwarna putih" komen Ustaz Dee. " Putih tidak sesuai dijadikan latarbelakang semasa bersiaran langsung kerana ia terlalu terang dan akan mengganggu imej yang dihasilkan. Zahir tolong tukar ya" komennya lagi. "Suara Ustaz Raman jelas. Ustaz juga perlu menukar latarbelakang yang lebih sesuai. Cara Ustaz meletakkan telefon mestilah landscape bukan potrait . Pastikan skrin telefon tidak menampakkan gambar Ustaz mendongak. Imej Ustaz mesti dapat dilihat separuh badan dari jarak dekat. Pakaian Ustaz juga jangan terlalu terang. Sesuai jika memakai warna gelap dan berbeza warna dengan latarbelakang"pesan Ustaz Dee kepada Ustaz Raman pula. "Berkenaan video pula, video yang Cikgu gunakan ini dari mana ya? Jika daripada youtube, saya harap batalkan video ini kerana ia adalah dianggap meniru copyright daripada youtube. Kami e-Didik pernah dihentikan siaran semasa program berlangsung gara-gara menyiarkan audio dan video yang diambil daripada youtube" jelas Ustaz Dee panjang lebar. "Baik Ustaz Dee. Nanti saya akan pastikan tiada video yang diambil daripada youtube" kata Cikgu Zah. "Masalah besar jika kamu tiada data mencukupi untuk menyertai streamyard room dan program ini akan terjejas. Namun jika berlaku juga dan berlaku juga kesilapan lain, jangan risau kerana ia adalah pengalaman manis buat kamu semua" ayat terakhir daripada Ustaz Dee meyakinkan semua untuk meneruskan program ini. Khamis 18 Jun 2020. Jam sudah menunjukkan jam 10.00 pagi. Program sepatutnya sudah bermula. Ustaz Raman sudah bersedia di surau, Cikgu Zah dari rumahnya bersedia sebagai Penyelaras On-air dan bersama-sama membantu ialah Ustaz Dee daripada e-Didik untuk mengawal perjalanan program. Zahir dari rumahnya, Aleeya dari Kolej Komuniti dan Naqib seorang sahaja dari Bilik Temasya sekolah. Cikgu Nor dan Cikgu Amy membantu di Bilik Temasya. Cikgu Nor dan Cikgu Amy bersedia membawa simkad yang mempunyai data internet sebagai langkah persediaan jika masalah capaian internet berlaku. Tepat jam 10.06 pagi Zahir selaku moderator memulakan program dengan lancar. Walaupun ada sedikit gangguan internet Naqib masih boleh membaca Surah Al Fatihah dengan baik dan suara Aleeya juga jelas. Suara Ustaz Raman jelas cuma adakalanya video ustaz tersekat-sekat disebabkan masalah talian. Program ini bersiaran secara langsung ke seluruh negara. Semasa program berlangsung, ramai yang memberikan komen positif. Zahir pandai memainkan peranan sebagai moderator. Slot penerangan mengenai wakaf prasarana amat jelas. Perjalanan program berjalan seperti yang dirancang diikuti pendaftaran sijil dan akhir sekali tayangan video penutup yang dimasukkan doa khatam Al Quran. Jumlah penonton yang menonton secara langsung di youtube dan facebook melebihi seribu orang. Subhanallah! Teringat hadis Rasulullah S.A.W , 'Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya' . Adakah akan ada siri yang kedua pula selepas ini? Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Catatan oleh, Cikgu Nor 21 Jun 2020 Bandar Baru,Kedah

Video Rakaman Siaran Langsung di youtube

Video Rakaman Siaran Langsung di facebook

 
Video Penutup Yang digunakan 

Friday 19 June 2020

Selamat Kembali Ke Sekolah Episod 1

Selamat Kembali Ke Sekolah! Vinusha dari kelas 4 Sains melaporkan aktiviti guru-guru sebelum sesi persekolahan yang akan dibuka bagi murid tingkatan 5 pada 24 Jun 2020 ini nanti.












Selepas  seluruh dunia digemparkan dengan penyebaran wabak Covid-19 , hampir semua negara mengambil langkah pencegahan awal dengan memperintahkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Negara kita Malaysia tidak terkecuali dalam mengambil langkah ini mulai 18 Mac 2020 dan murid sekolah turut terkena tempiasnya apabila terpaksa bercuti panjang. Walaupun rata-rata pelajar berasa gembira dengan cuti yang diberikan, namun tidak bagi pelajar tingkatan 5 yang bakal menghadapi SPM pada tahun ini. Walaubagaimanapun mereka harus akur dengan perintah ini dan belajar secara dalam talian dari rumah sahaja. Pada 10Jun 2020, Menteri Kanan Pendidikan Dr.Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 24 Jun 2020 bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam sahaja.

Dalam pada itu, pihak sekolah diberi tugasan mengikut SOP yang ditetapkan untuk memulakan pembersihan sekolah dan mensanitasi sekolah agar pelajar dapat belajar dalam suasana yang bersih dan selamat. Pada 16 Jun 2020 semua pentadbir sekolah, guru-guru termasuk guru-guru PPKI terlibat dalam pembahagian kelas dan pembersihan sekolah bagi menyambung pelajar SPM. Bermula seawal 8 pagi, guru-guru tiba di sekolah dan melakukan pembersihan di kelas-kelas yang ditetapkan. Hanya kelas-kelas di Blok A,D, E dan G yang terlibat dalam sesi pembelajaran bagi pelajar tingkatan 5 dan ini memudahkan guru-guru melakukan proses pembersihan. Guru-guru perlu melekatkan pelekat yang jaraknya 1 meter di antara satu sama lain mengikut SOP yang ditetapkan. Ini bagi memastikan pelajar dapat mengekalkan jarak apabila sekolah dibuka kelak. 

Selain itu, guru-guru juga telah menyusun meja yang berjarak 1 meter dengan jumlah 14 hingga 18 meja bagi satu kelas. Tindakan ini mampu mengelakkan kesesakan dalam kelas ketika pembelajaran bermula. Seterusnya label anak panah turut dilekat untuk pandu arah jalan keluar dan masuk kelas ikut pelan yang ditetapkan. Guru-guru juga mengelap tingkap,meja, kipas dan kerusi kelas agar bersih daripada sebarang kuman.

Bukan sahaja guru dan kakitangan malahan pekerja kantin turut turun padang untuk pembersihan kawasan kantin dan melekat label laluan  kawasan kantin. Semua hadir tiga berturut-turut bagi melakukan pembersihan sebagai persediaan pembukaan semula sekolah. Ini bertujuan muri sekolah kekal patuhi SOP dengan mengekalkan jarak 1 meter dan memakai pelitup muka.


Semangat guru-guru bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid perlu dihargai. Murid akan mula bersekolah pada 24 Jun 2020. Murid juga mesti menunjukkan yang mereka juga bersemangat untuk menimba ilmu. Semoga pembelajaran yang akan bermula nanti dapat berjalan lancar dan bebas daripada sebarang penyakit. Selamat kembali ke sekolah.😊

Penulis:
Vinusha (4 Sains)

Monday 15 June 2020

PKP..Perjalanan Sebuah Ceritera & Pengalaman oleh Cikgu Paradizes


Cikgu Paradizes kembali menulis lagi. Suatu perkongsian pengalaman yang menarik buat semua pembaca. 

PKP, suatu perjalanan sebuah ceritera dan pengalaman yang begitu panjang dan menakjubkan buatku sekeluarga… Bermulalah sebuah ceritera dan pengalaman yang tidak pernah kufikir untuk kuluahkan dalam ruangan maya  ini. Namun, apa-apa yang berlaku sudah tentu ada hikmah yang begitu besar daripada sang Pencipta. Dan aku yakin, pasti ramai yang mempunyai cerita tersendiri. Cerita yang bisa membuat diri tersenyum apabila mengenangkannya.
Seperti kebiasaan, kepulangan aku sekeluarga adalah untuk menatap wajah suci kedua-dua ibu bapa yang kami sanjungi. Sudah 3 bulan kami berada di perantauan. Rindu kepada mereka dan kampung halaman begitu membuak-buak, seperti ada yang memanggil-manggil. Kebetulan pula, ayahku sudah lama merancang untuk mengadakan majlis solat hajat pada hari Jumaat, 20 Mac 2020 bagi mendoakan kesejahteraan bayi  di dalam kandungan adik perempuan bongsuku.  Sebagai ketua keluarga, memang perancangan balik cuti sekolah kali ini tidak akan lebih dari 5 hari. 2 hari sudah tentu kutolak sebagai hari di jalan raya, disebabkan perjalanan dari Banting ke Kota Bharu biasanya memakan masa 10 hingga 12 jam. Jadi, kami memilih tarikh 16 Mac 2020, iaitu hari Isnin sebagai permulaan perjalanan kami balik ke kampung halaman.
Ya, tarikh 18 Mac 2020, Rabu adalah tarikh keramat  bagi permulaan bagi segala cerita ini. Apabila Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh mengumumkan tarikh tersebut adalah permulaan bagi PKP fasa pertama akibat daripada wabak Corona Virus ( Covid-19) yang tidak mengenal sesiapa, aku mula tersentak dan terkedu. Tak kurang juga kepada ibu bapaku. Dapat kulihat keresahan di balik wajah berkedut mereka sama ada untuk meneruskan atau tidak majlis solat hajat tersebut. Ada dalam kalangan adik beradikku yang memujuk mak ayah kami untuk menunda majlis tersebut. 2 orang adik beradikku terkandas untuk pulang. Seorang di Putrajaya, seorang lagi di Perlis. Demi menjaga perasaan adik bongsuku, majlis solat hajat diteruskan juga. Cuma majlis yang pada perancangan asalnya ingin menjemput AJK masjid, jiran tetangga dan anak beranak dengan jumlah yang agak meriah, bertukar menjadi begitu lesu dengan bilangannya tak sampai 10 orang. Namun, alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan kuasa Ilahi.
Hari berganti hari datang membawa pelbagai persoalan kepada diriku. Antaranya, aku mula memikirkan berapa lamakah tempoh masa yang akan  kusekeluarga harungi di rumah ibu bapaku atau di rumah mertua. Malah, kami sekeluarga hanya membawa pakaian yang kata orang “cukup-cukup makan sahaja”. Apa pula nasib anak-anakku yang tidak membawa apa-apa buku pun. Yang Kak Long, akan menghadapi UPSR. Kak Ngah pula akan menghadapi UPKK. Aku memang rasa kebingungan, rasa terkunci, adakalanya rasa gelisah…Ya Allah, tolonglah hambamu ini..Pada tarikh 23 Mac 2020, ibu saudaraku telah pergi menghadap Ilahi. Terasa bersalah sebab tak dapat melawat arwah sebelum arwah pergi buat selama-lamanya. Bukan kehendak diri, tapi akur pada arahan kerajaan. Pun begitu, aku bersyukur kerana sempat melihat wajah bercahaya arwah pada belah pagi, sebelum arwah dikebumikan. Wajah arwah kelihatan begitu muda berbanding  usia arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh..Amin.
Melangkaui minggu cuti sekolah, aku membuat keputusan untuk bermukim sepanjang tempoh PKP ini di rumah mertuaku. Pada pendapatku,  biarlah isteriku lebih selesa berada di rumahnya sendiri. Lebih mudah untuk isteriku membuka aurat di hadapan mak ayah dan adik beradiknya berbanding berada di rumahku.  Biarlah aku seorang diri yang menjenguk mak ayahku seorang diri. Fasa kedua PKP yang bermula 1 April 2020 menetapkan satu kereta hanya untuk seorang pemandu sahaja. Aku pasrah, walaupun ada masanya, anak-anakku juga ingin mengikut ke rumah atuk yang seorang lagi.
Pada mulanya, aku dapat rasakan yang kami sekeluarga akan bermukim di rumah mertuaku sepanjang PKP ini. Namun, tak sampai seminggu kami di sini, Allah menguji kami. Ditakdirkan air telaga di rumah mertuakan mula kekeringan. Bapa mertuaku cuba memanggil orang kampung untuk menggali telaga supaya lebih dalam dengan harapan air telaga kembali berisi dengan air. Aku pun berdoa agar kemelut air ini akan selesai. Besok muncul lagi. Apabila paip air buka, keadaannya sama juga seperti sebelum telaga digali. Aku keresahan lagi. Terus menjenguk air di dalam telaga. Memang airnya lebih kurang yang sebelum digali. Air yang ada cukup untuk 3 baldi sahaja. Mana cukup untuk dibuat mandi untuk seisi rumah?. Apatah lagi untuk membasuh pakaian. 5 hari seterusnya, kami sekeluarga menumpang mandi di rumah atuk saudara yang tak jauh dari rumah mertua. Sesekali, aku pergi mandi di masjid secara sembunyi-sembunyi. Kadang-kadang, terasa malu juga tumpang mandi di rumah orang lain.
Bak kata pepatah “kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari..” Air di telaga rumah atuk saudara pun kering juga. Aku makin kebingungan. Terus memujuk isteriku untuk bermukim seketika di rumah ibu bapaku. Isteriku setuju untuk berhijrah ke rumah ibu bapaku. Pada 6 April 2020, Isnin, kami nekad untuk berhijrah pada senja hari walaupun kami tahu, risikonya agak tinggi. Kalau ditahan polis, sudah tentu RM1000 akan melayang. Kami sedar, kami telah melakukan kesalahan semasa PKP. Kami melanggar perintah untuk “stay at home”. Namun hakikatnya, kami terpaksa. Aku hanya mampu berserah pada Allah. Alhamdulillah, dengan kekuasaannya, kami sekeluarga selamat sampai ke rumah ibu bapaku. Lagi pun, jarak rumah mertua ke rumah ibu bapaku hanya 18 kilometer, lebih kurang 25 minit perjalanan. Aku menarik nafas lega.
Di rumah ibu bapaku, masalah air bukan isu utama. Cuma…ada beberapa perkara yang aku perlu ambil kira. Pertama sekali, di rumah ibu bapaku, sudah ada satu keluarga adikku yang bermukim, yang senasib  dengan aku. Terperangkap dengan PKP. Kemudian, ada 2 orang lagi adikku yang menetap di situ. Kalau dihitung, jumlah yang menetap di rumah ibu bapaku adalah seramai 16 orang. Keadaan di rumah ibu bapaku agak “meriah” di sebalik rumah yang sederhana besar. Bila bilangan agak ramai, macam-macam peristiwa yang berlaku. Antaranya, cermin kereta ayahku pecah gara-gara perbuatan tidak sengaja anakku. Aku akui, ada di kalangan anakku yang nakal. Tambahan pula, apabila anak-anak jumpa pula dengan sepupu mereka, keadaan kadang kala menjadi agak kurang terkawal. Aku mula rasa tidak sedap hati. Kesian pula kepada ibu bapaku yang terpaksa berhadapan dengan suasana baru ini. Walaupun ibu bapaku tidak bersuara, namun aku faham apabila melihat kekeruhan pada riak wajahnya. Hakikatnya, kedua-dua ibu bapaku kurang sihat. Mereka ada penyakit kencing manis dan darah tinggi. Mereka perlu berehat.
Fikiranku mula tak keruan. Aku mula berfikir untuk balik ke tempatku bekerja di Banting. Tapi, persoalannya bagaimana. Ada tak kurang daripada 20 sekatan polis dan tentera. Macam mana aku nak lepaskan diri. Tambahan pula, aku terpaksa membawa 7 orang penumpang. Apa alasan yang hendakku beri. Aku hanya seorang guru biasa. Sudah tentu, alasannya tidak kukuh. Hari demi hari aku berfikir dan berdoa agar Allah bagi petunjuk. Satu perumpaan yang mudah ingin kusebut di sini, kami sekeluarga seperti “pelarian”. Tiada tempat yang sesuai untuk kami diami. Kami sekeluarga ingin pulang ke Banting. Pernah juga kudengar cerita ada keluarga yang perlu berpatah balik, gara-gara alasan yang tidak kukuh. Aku kebingungan. Berapa lama harus kuhadap dugaan ini. Ya, Allah, bagilahku petunjuk.
Tidak sampai 3 hari aku menetap di rumah  ibu bapaku, tiba-tiba, Allah ketuk pintu hatiku untuk membuat suatu perkara yang tak pernah kufikir. Berhijrah ke suatu tempat yang telah tersedia lama untuk aku sekeluarga. Cuma, aku yang selalu mengabaikannya. Apa yang kumaksudkan, aku sebenarnya telah mempunyai satu rumah yang telah siap dibina di sebuah kampung. Hampir 4 tahun rumah tersebut tersadai begitu sahaja. Memang niatku untuk mendiami di sana apabila ada peluang untuk berpindah balik ke negeri kelahiran kami, iaitu negeri Kelantan. Namun, realitinya bukan mudah untuk berpindah terutamanya ke negeri Che Siti Wan Kembang ini yang agak kebal untuk ditembusi. Kebiasaannya, pada cuti sekolah, kami sekeluarga hanya menjenguk-jenguk sahaja rumah tersebut. Paling tidak pun, aku biasanya ambil kesempatan untuk memotong rumput. Pernah juga, aku berniat untuk menjual rumah tersebut, dek risau dengan keadaan rumah apabila tidak dihuni orang.
Akhirnya, dengan hati yang nekad, aku dan isteri membuat keputusan yang drastik untuk berhijrah ke rumah tersebut. Niat kami direstui oleh  ibu bapaku serta mertua. Memasuki fasa PKP ketiga, tanggal 10 April 2020, hari Jumaat, jam 6:30 pagi, selepas solat Subuh bersama-sama isteri, aku kejutkan anak-anak, dalam keadaan yang belum mandi lagi, dan terus menghala ke rumah yang kami di Kampung Ghertak Kechupu, di Mukim Mentuan. Yang pasti, kami sekeluarga bertawakal lagi kepada Allah dengan melanggar PKP buat kali kedua. Keadaan mendesak kami. Dengan kekuasaan Allah, kami sampai dengan selamat.
Setibanya kami di rumah tersebut, keadaannya cukup menyedihkan. Keadaan sekitar dipenuhi dengan rumput yang panjang, di anjung kereta dan di ruang luar rumah pula, penuh dengan najis musang, pagar pun dah berkarat. Apabila pintu  dibuka, keadaannya masih terkawal, cuma penuh dengan sesawang labah-labah, berhabuk dan ada tempat dipenuhi dengan najis cicak. Tanpa melengahkan masa, aku meletakkan anak-anakku di sebuah bilik yang agak bersih. Aku dan isteri terus membasuh di seluruh ruang di dalam rumah, termasuk ruang tamu, bilik-bilik, dapur dan bilik air. Hampir 3 jam jugalah masa yang di ambil. Anak-anak juga membantu mana yang dapat. Selepas keadaan di dalam rumah agak bersih, kami mengangkut pakaian ke dalam rumah. Memang keadaan rumah agak kosong. Tiada pinggan mangkuk, tiada dapur masak, tiada kuali dan periuk, tiada mesin basuh, tiada apa-apa. Kosong. Yang ada cuma jeriji, lampu dan kipas. Nasib baik Tok Ma memberi langsir yang sedia ada di rumah. Dapatlah kami tutup mana-mana ruangan yang boleh dilihat pada waktu malam.
Di situlah bermulanya satu episod baru. Aku mula mengisi rumah yang kosong itu sedikit-sedikit dengan barang keperluan asas. Ya, sedikit demi sedikit. Dengan duit yang ada, aku guna sepenuhnya. Mengambil masa beberapa hari, alhamdulillah, rumah kami terisi dengan barang keperluan yang sepatutnya ada. Sofa, katil, meja makan, almari dan seumpamanya, In Sya Allah, akan menyusul. Cuma tidak pasti bila?. Semakin hari, kami merasa semakin sayang kepada rumah ini. Masa yang terluang sebelum puasa, kami cuba habiskan dengan membersihkan kawasan rumah semampu yang boleh. Dengan cuti PKP yang agak panjang ini, kami terasa inilah rumah yang kami idam-idamkan selama ini. Terasa ingin berhijrah menetap di negeri kelahiran kami.
Walaupun kerajaan memberi sedikit kelonggaran bagi keluarga yang terperangkap di kampung untuk pulang di tempat mereka bekerja bermula pada 4 Mei 2020, namun kami nekad membuat keputusan untuk kekal menetap di sini sepanjang tempoh PKP, sebelum hari raya menjelma. Hati kami telah terpaut pada rumah yang pernah kami benci buat suatu seketika dahulu. Dalam bulan puasa pun, kami merasa cukup seronok. Apa tidaknya, dapat menikmati juadah makanan di negeri  kelahiran sendiri dan suasana yang meriah walaupun sederhana. Benarlah kata pepatah “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”
Begitulah serba sedikit ceritera dan pengalaman yang sempat kurakam sebagai kenangan terindah sepanjang musim PKP serta PKPB, dan sebelum ku bergerak pulang ke stesen tempatku bekerja pada 8 Jun 2020. Bila terkenang balik, hampir 85 hari tempoh kuberada di kampung halaman! Aku sekeluarga melahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kehadrat Ilahi atas anugerah tidak ternilai ini. Terima kasih ya Allah…permudahkanlah urusan kami untuk balik menabur bakti di negeri kelahiran kami pada suatu masa dan ketika yang lain…Amin.

Karya oleh
Cikgu Paradizes



Friday 12 June 2020

Program Al Quran Di Hatiku Secara Langsung Di Youtube dan Facebook Bakal Muncul

SEMUA MURID, GURU, IBUBAPA DIJEMPUT MENONTON SIARAN SECARA LANGSUNG PERTAMA KALI DALAM SEJARAH SMK JUGRA.

Buletin Temasya bakal membawakan kepada anda sebuah program yang akan bersiaran secara langsung di Youtube. Program Al Quran Di hatiku ini akan bersiaran secara langsung selama satu jam di mana pesertanya akan ke udara secara langsung dari rumah masing-masing. Hasil kerjasama E-Didik Malaysia, Pergerakan Puteri Islam , Persatuan Agama Islam, Unit Kokurikulum dan  PIBG SMK Jugra ini pastinya akan membawa impak yang besar kepada warga Jugra amnya. Siaran ini dibuka kepada semua warga Malaysia.


*Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh*

🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀

*PROGRAM AL-QURAN DI HATIKU*
*Kerjasama bersama E-DIDIK dan SMK Jugra*

Tarikh: 18 JUN 2020 
Hari: KHAMIS
Jam: 10.00 PAGI

YOUTUBE & 
✅ FB LIVE

🇲🇾 *Semua guru ,murid, ibubapa adalah dijemput menyertai program ini* 

_(Link & QR Code pendaftaran untuk mendapatkan sijil akan diberikan semasa program)_

📳 🔊🔊🔊  LIVE...



_*Penceramah :*_
*Al FADHIL USTAZ A . RAMAN BIN MOHD AMIN*

_*Anjuran bersama :*_
E-DIDIK, PPIM,Persatuan Agama Islam, Unit Kokurikulum, PIBG SMK Jugra &
buletintemasyasmkjugra.blogspot.com
🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀🍀
🔰Terima kasih kerana menyebarkan maklumat ini.


_*Ilmu yang bermanafaat adalah ilmu yang diberkati selalu*_

Tuesday 2 June 2020

Edisi Khas Program Pendidikan Pencegahan Dadah

Video dihasikan oleh Naren Mohan

Edisi khas kali ini sangat penting  untuk dibaca dan  difahami oleh pembaca.
Program pendidikan pencegahan dadah telah bermula sejak beberapa tahun yang lalu. Di  SMK JUGRA ia telah dijalankan bermula dari bulan Januari tahun 2020.

Empat orang kaunselor yang sangat berdedikasi terlibat dalam program ini iaitu K.Gandhimathi a/ p Kasinathan, Azmi b Othman,Norita bt Jamaluddin dan Nurhazwah Estiar.
Video dihasilkan oleh Farisya Syakira

PENGENALAN
Program  Pendidikan Pencegahan Dadah adalah satu bentuk pendidikan  kepada  murid-murid untuk menghindarkan diri daripada terlibat dalam penagihan dadah dan terjebak dalam masalah sosial. Berdasarkan senario semasa, ramai anak muda yang terlibat dalam penagihan dadah adalah merupakan mereka yang tidak mendapat didikan awal berkaitan dengan bahayanya dadah. Kebanyakan jenayah dan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah dalam kalangan mereka yang tidak mendapat didikan awal berkaitan dengan bahayanya penyalahgunaan dadah. Pendedahan awal dalam pencegahan dadah ini adalah sangat penting  memandangkan murid di sekolah adalah golongan yang paling sesuai.

OBJEKTIF
Program Pendidikan Pencegahan Dadah  ini adalah:
3.1  Menyampaikan   maklumat  bahaya DARVIH kepada murid sekolah, guru dan kakitangan sekolah.
3.2. Memberi kesedaran  kepada murid-murid  sekolah ini berkaitan dengan bahaya penggunaan dan penagihan dadah.
3.3  Memberi  maklumat  berkaitan dengan masalah sosial  yang berkaitan  DARVIH  semasa  PKP.

TEMPAT:              Dirumah masing-masing
SASARAN:           Semua murid SMK Jugra,guru dan kakitangan
Method program:   google classroom,whatsap,buletin temasya

Jom Ambil Tahu










Semua kaunselor terlibat dalam program ini.  
Semoga semua  warga  Jugra termasuk guru dan murid diharapkan 
dapat melibatkan diri dalam membantu  misi  dan visi PPDA 
tercapai.Terima kasih diucapkan. 

Bahan disediakan oleh,
K.GANDHIMATHI A/ P KASINATHAN




Monday 1 June 2020

Hikmah Covid-19

Hasil penulisan daripada Siti Sue Liyana yang bertajuk Hikmah Covid-19 ini pernah memenangi hadiah tempat ke empat peringkat daerah bagi kategori pertandingan Esei Digital dalam pertandingan yang dianjurkan Persatuan Puteri Islam Malaysia Kuala Langat baru-baru ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada beliau. Semoga terus berusaha dan cemerlang dalam menghasilkan penulisan yang bermutu pada masa akan datang.

Dalam mendepani realiti baharu dunia yang semakin pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sedang berhadapan dengan masalah wabak penyakit Covid-19 yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi.  Wabak ini semakin menular dengan pantas tanpa kita sedari. Seperti yang sudah kita ketahui, wabak ini menular dari Wuhan, China. Sebagai seorang individu yang prihatin dengan keadaan semasa, kita semestinya risau dengan impak yang terus menular ini seakan tiada titik noktah. Tetapi, tahukah anda bahawa selepas hujan berhenti pasti pelangi akan menghiasi langit? Begitu juga dengan keadaan dunia sekarang. Lebih - lebih lagi kes ini masih lagi aktif dalam bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Persoalannya, apakah hikmah Covid-19 ? 

Antara hikmah perdananya dapat melahirkan individu yang bersifat prihatin akan kesusahan yang dihadapi oleh insan lain. Contohnya , pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew bukanlah satu nama yang asing dalam dunia dakwah malah cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Ustaz Ebit Lew kini telah mendapat perhatian rakyat Malaysia susulan daripada keprihatinan beliau dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini demikian, dapat membuka mata hati semua rakyat Malaysia khususnya untuk berganding bahu memberi sumbangan mahupun bantuan  dalam pelbagai cara. Antaranya dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan harian. Jika sebelum ini rakyat Malaysia seperti katak di bawah tempurung yang tidak mengetahui atau mengambil peduli bahawa masih ramai lagi golongan yang kurang bernasib baik di luar sana. Kini sudah ramai individu yang mengikuti jejak langkah Ustaz Ebit Lew iaitu ikhlas dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan ini. ini.  Hal ini, merupakan salah satu hikmah yang tidak dapat dirasai oleh semua individu dan langkah tersebut secara tidak langsung telah membuka pandangan masyarakat luar bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang perlu dicontohi dan dijadiakn sebagai role model bagi masyarakat negara lain. Impaknya negara Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain. 

Selain itu, hikmah yang diperoleh melalui wabak Covid-19 ini adalah dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu dalam pelbagai bidang. Hal ini dibuktikan dengan adanya kelas, latihan, mahupun kursus melalui atas talian khususnya terhadap individu yang berminat dan tertentu sahaja. Dengan kecanggihan teknologi kini, mereka boleh mengetahui bahawa di rumah juga mereka mampu melakukan pelbagai aktiviti  yang bermanfaat, ringkas dan sesuai dengan kemampuan diri sendiri. Contohnya seperti mempelajari teknik senaman yang sesuai dan selamat untuk dipraktikan dalam rumah . Oleh hal yang demikian, mereka dapat mempraktikkan ilmu tersebut walaupun  Perintah Kawalan Pergerakan telah ditamatkan. Kita juga dapat mencuba beberapa resepi baharu yang tidak pernah kita masak. Sebagai contoh, Kuih Tepung Pelita, Kuih Sagu, Kuih Lompat Tikam, Kuih Akok dan Kopi Dalgona  iaitu air kopi yang sedang popular sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan wang daripada dihabiskan dengan membeli makanan yang mahal tetapi belum tentu menepati cita rasa sendiri. Hal ini bertepatan dengan cogan kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. 

Disamping itu, mengeratkan hubungan kekeluargaan juga ialah salah satu hikmah Covid-19. Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan kita dapat memanfaatkan masa ketika berada di rumah bersama keluarga tersayang dengan lebih kerap dan penuh bermakna. Kita sering mengeluh kekurangan masa untuk bersama dengan keluarga atas tuntutan hakiki iaitu  sibuk berkerja. Apabila kita diberi peluang seperti situasi kini, maka masa dan peluang tersebut tidak harus disia-siakan. Banyak aktiviti kekeluargaan dapat dilakukan di rumah untuk mengeratkan hubungan silaturahim.  Antaranya ialah membaca, menonton televisyen bersama, bermain permainan atau  bertukar pandangan bersama ahli keluarga yang lain dengan tujuan merapatkan hubungan dan meningkatkan komunikasi bermakna antara ahli keluarga. Ibu bapa juga dapat memanfaatkan masa tersebut dengan lebih mengenali diri anak-anak mereka. Ibu bapa berperanan sebagai teladan hasanah bagi melahirkan individu yang bersifat penyayang. Pembentukan keluarga yang penuh mawaddah warrahmah dapat ditingkatkan. 

Akhir sekali, mendalami ilmu agama juga ialah salah satu rahmat di sebalik dugaan ini. Sebagai contoh, memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Pada waktu inilah ibadah yang dahulunya tidak sempat disempurnakan kerana terlalu sibuk mengejar  nikmat dunia dapat  digantikan semula atau di qada'. Jika kita sebelum ini, sukar sekali untuk membaca kalam Allah kerana ketiadaan kesempatan waktu, maka pada waktu inilah masa yang terluang perlu diisi semaksimum mungkin  dalam kehidupan seharian kita. Semakin banyak kita mempelajari ilmu agama, semakin mantap keimanan seseorang terhadap Pencipta-Nya maka kita akan mengagumi kekuasaan-Nya dengan sentiasa bersyukur dalam meneruskan kehidupan bukan mendabik dada. Hal Ini dikatakan demikian adalah kerana sebahagian daripada rahmat Allah kepada makhluk-Nya termasuk diri saya sendiri dengan dihantarkan sedikit daripada peringatan wabak Covid-19 ini, untuk kembali kepada Allah dan tidak jauh daripada Allah. Sesungguhnya nikmat ibadah itu lahirnya daripada hati yang mengenal dan cinta akan Allah. 

Tuntasnya, sebagai seorang individu kita hendaklah selalu melihat dengan mata hati bahawa sesungguhnya kepahitan dan dugaan yang dialami di dunia ini adalah kemanisan di alam akhirat. Hal ini demikian kerana, wabak ini merupakan ketentuan daripada Tuhan. Ahli solihin islam pernah mengatakan bahawa kadangkala nikmat yang besar diberi oleh Allah dengan melalui ujian atau musibah. Sedangkan yang lainnya diberikan - Nya ujian dengan kenikmatan". Ujian serta kenikmatannya  boleh diturunkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya, namun untuk merasai nikmat yang diberi melalui ujian tidak semua  dapat dirasai oleh individu tersebut.