Puan Hajah Rossita binti Ramlan
Pengetua SMK Jugra
Segala input, pihak
sekolah telah berikan dan pelbagai kaedah pembelajaran telah pun dilaksanakan
demi mencapai kecemerlangan anak-anak didik SMK Jugra. Guru-guru juga telah memberi
ilmu dalam pelbagai bentuk dan kaedah supaya murid-murid terus bersemangat dan
tidak berasa jemu mencapai kecemerlangan. Selain tugas hakiki, guru-guru telah
melaksanakan SJOT ( SMK JUGRA ONLINE TEACHING) sebanyak 31
kali khusus untuk anak-anak didik SPM
2020 mulai 8.12.20 dengan tagline “
Daripada guru Jugra untuk murid-murid Jugra”. SJOT adalah yang program pertama yang
di laksanakan di Daerah Kuala Langat. Tuan PPD Kuala Langat sangat teruja dan
berminat dengan SJOT ini sehinggakan terdapat pegawai PPD yang ingin
menyaksikan sendiri teknikal SJOT ini dijalankan. Kelas tambahan pun sudah
dilaksanakan walaupun hanya 5 hari untuk tahun 2021 kerana arahan sesi
persekolahan bersemuka bagi calon SPM 2020 berakhir pada 9.2.21. Insya-Allah
akan di sambung semula jika terdapat permintaan daripada anak didik sekalian namun perlu patuh SOP dan
berdisiplin serta istiqomah mematuhi peraturan yang telah gariskan. Kehadiran ke kelas tambahan hendaklah mengikut
masa yang ditetapkan. Kini terpulang kepada anak-anak didik untuk mencuba sedaya upaya bagi mengangkat
prestasi sekolah ke tahap yang lebih baik dalam SPM 2020 secara norma baharu.
Jangan lupa bahawa subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah mata pelajaran
yang wajib lulus. Harapan kami menggunung tinggi terhadap anak-anak sekalian
agar dapat melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020. Hasrat
sekolah ataupun target yang ingin dicapai pada tahun 2020 ialah meletakkan
peratus kelulusan sebanyak 74.10% brbanding tahun 2019 iaitu hanya 69.75% dengan GPS sebanyak 5.38 berbanding 5.89 pada tahun 2019. Jadikanlah kejayaan itu nanti,
sebagai pencetus kepada kejayaan-kejayaan generasi yang seterusnya.
Bonda mengambil kesempatan ini
untuk mendoakan semoga anak-anak didik SMK Jugra diberikan kesihatan yang baik, ketenangan
fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab kesemua soalan dengan
baik seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan diri dan
emosi . Jangan wujudkan konflik, stress dan sebagainya kerana tindakan tersebut
akan mengundang masalah dan menjejaskan persediaan anda semasa menghadapi
peperiksaan. Rakan adalah aset yang sangat berharga ketika ini kerana daripada
mereka anda boleh memohon bantuan dan berkongsi pandangan tentang sesuatu
perkara.
Di samping
itu, jagalah hubungan anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu ,
dorongan, rangsangan kepada anak-anak iaitu, guru-guru. Jika masih belum
memohon maaf dan restu daripada guru , sila lakukan dengan segera. Memohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang
mereka dengan pandangan hormat dan penuh taat. Sebenarnya para guru yang
mencurahkan bakti dan tenaga sangat mengambil berat tentang pencapaian anak-anak
didiknya dalam peperiksaan . Anak-anak didik
dan guru sememangnya berusaha bersama-sama dalam menentukan sejauhmana
pencapaian anak-anak didik dapat
dipertingkat sama ada dalam bentuk penambahan markah atau penambahbaikan gred
mata pelajaran. Semua guru mahu anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan
SPM ini. Bonda sentiasa menganggap anak-anak didik SMK Jugra bagaikan anak
sendiri dan bonda percaya guru-guru lain juga begitu. Dalam proses mendidik
sudah tentu yang salah ditegur, yang tidak betul dimarahi. Itulah asam garam
dalam menuntut ilmu. Namun, semua guru tidak pernah melupakan anak-anak didik
semasa berdoa kepada-NYA kerana kejayaan anak-anak didik adalah kejayaan para
guru dan SMK Jugra khususnya.
Seterusnya , jagalah hubungan anda dengan ibu bapa. Dapatkan keredaan
ibu dan ayah, supaya doa mereka mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun
maaf daripada mereka. Sesungguhnya doa ibu bapa kita yang ikhlas itu amat
mujarab dan pastinya doa yang ikhlas itu datangnya daripada kalbu ibu bapa yang
telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang.
Jangan lupa jagalah hubungan kita dengan Allah. Yang bukan Islam
berdoalah kepada Tuhan mereka. Berdoalah kepada-Nya semoga segala usaha kita
mendapat berkat dan hidayah daripada-NYA. Berdoalah untuk diri sendiri dan
berdoalah juga untuk rakan-rakan yang lain. Kejayaan mereka juga merupakan
kejayaan kita bersama. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan, pastinya yang akan
membuahkan hasilnya hanya Allah SWT.
Cerdik pandai
ilmuan Islam, Luqman Al-Hakim pernah berkata “ ilmu tanpa restu guru ibarat si
pejuang tanpa senjata. Ilmu tanpa restu keluarga ibarat si pejuang tanpa bala
tentera dan ilmu tanpa restu sahabat taulan ibarat si pejuang tanpa kubu dan
bentengnya”.
Akhir kata jaga kesihatan dan keselamatan diri. Jaga SOP. Jujurlah dalam membuat pengisytiharan kesihatan. Elakkan keluar rumah tanpa urusan penting. Ingat “kita jaga kita”. Didoakan semua anak didik SMK Jugra dan seluruh Malaysia dapat menduduki Pep SPM dengan tenang dan tenteram. Ingat pesanan Cikgu Mohd Firdaus mengenai keselamatan pepriksaan SPM 2020. Buat persiapan awal, contohnya sebelum tidur kad pengenalan dan alat tulis sudah siap sedia dimasukkan kedalam beg sekolah. Tidur awal supaya boleh bangun awal dan datang ke pusat peperiksaan awal agar tenang dalam menghadapai peperiksaan SPM.
SELAMAT BERJAYA.
Doa Untukmu,
Puan Hajah Rossita binti Ramlan