Apakah definisi sekolah
bagi anda? Sekolah bukan sahaja tempat untuk menelusuri ilmu, malah telah
menjadi rumah kedua bagi kita. Tanpa kita sedari, sepanjang meniti kehidupan
kita sebagai seorang pelajar, sekolah ialah tempat yang penuh cerita suka, duka,
pahit dan manis. Jika kita boleh mengimbas kembali kenangan yang telah kita
wujudkan bersama-sama guru, rakan dan warga sekolah pasti tidak lekang senyuman
terukir dibibir.
"Cintai sekolah
kita" bukan sekadar cogankata bagi
sekolah malah luas perbahasannya termasuk
aspek kekeluargaan bersama-sama warga sekolah. Terdapat beberapa cara bagi
memupuk diri dalam menjadi seorang pelajar yang cinta akan "rumah
ilmu".
Antaranya ialah hormat
menghormati sesama manusia tanpa mengira kaum. Sebagai murid, kita diwajibkan
untuk menghormati guru. Keberkatan ilmu itu datangnya daripada seorang insan
yang bernama guru. Jika kita mahu mudah dalam menimba ilmu, hormatilah guru.
Selain itu, cintai
sekolah adalah dengan cara menjaga harta benda sekolah. Perlu kita sedari
bahawa kemudahan di sekolah adalah dari pihak kerajaan dalam bentuk
"percuma". Sedarlah bahawa kita tidak perlu membayar untuk buku teks,
meja dan kerusi. Seharusnya kita menjaga barang-barang ini sebaiknya
seperti milik kita sendiri. Apabila
berlaku kerosakan, berusahalah untuk memperbaikinya dan apabila dalam keadaan
yang baik maka berusaha mengekalkannya.
Menjaga kebersihan
persekitaran sekolah juga adalah salah satu cara kita mencintai sekolah. Kita
harus mendidik jiwa kita supaya membuang plastik makanan, cawan minuman atau
barang yang tidak digunakan ke dalam tong sampah yang disediakan. Jika tiada
tong sampah yang berdekatan simpan di dalam poket seluar atau beg. Sesungguhnya
Tuhan melihat segala kebaikan dan keburukan yang kita lakukan. Mungkin kita
tidak mengetahui bahawa perbuatan kita boleh memudaratkan orang lain. Maka sedarlah
wahai teman.
Tanpa kita sedari, masa
amat mencemburui kita. Kita boleh melihat situasi ada murid yang sedang
menunggu masa untuk memasuki alam persekolahan. Ada yang sedang menunggu
panggilan untuk ke sekolah pilihan dan ada yang sedang mempersiapkan langkah
terakhir sebelum melangkah keluar dari alam persekolahan.
Tuntasnya selagi masih
ada masa yang diberikan oleh Tuhan, gunakanlah sebaik-baiknya untuk melakukan
perkara yang dapat memberi kesenangan dan kemudahan kepada warga sekolah kerana titik permulaan
sebuah "cinta" itu datangnya daripada hati dan perbuatan.
Cintailah sekolah kita
sebagai rumah kedua sebagaimana kita cinta akan rumah pertama.
Hasil nukilan
~ Sue Suni ~
5 Sains 2020
5 Sains 2020
No comments:
Post a Comment