HASIL KARYA
Thursday, 30 September 2021
VIRUS CORONA HASIL KARYA HONG WAN KIAN
HASIL KARYA
"Pulang" Hasil Karya Azura
Video yang dihasilkan oleh Nur Azura binti Ibrahim dari kelas 5 Sains ini benar-benar menginsafkan. Beliau mengajak kita berfikir dan bermuhasabah diri. Terima kasih Azura. Teruskan menghasilkan karya sebegini sebagai sumbangan untuk ummah! Jugra Juara.
Hasil KaryaWednesday, 8 September 2021
Bukan sahaja pandai Matematik, Hong Wan Kian juga pandai berpantun.
VIRUS CORONA
Gambar hiasan |
Cahaya malam indah terpantul,
Keluar si Puteri mudah dicam;
Pakai pelitup muka cara yang betul,
Kelak nyawa tidak terancam.
Puteri yang sulung tersenyum simpul,
Di sebalik senyuman tersisip rahsia;
Elakkan diri daripada berkumpul,
Tanggungjawab semua rakyat Malaysia.
Istana indah sudah terbina,
Hanya menunggu raja memerintah;
Perjuangan menentang virus Corona,
Belum menemui titik noktah.
Gering si puteri terlihat lemah,
Dahulunya riang senang hati;
Jika kita duduk di rumah,
Virus jangkitan boleh dihenti.
Karya
Hong Wan Kian, 5 Sains
Friday, 3 September 2021
GAMBAR MURID SPM 2020 DIABADIKAN DALAM ALBUM MEMORI TERCIPTA
Thursday, 2 September 2021
ALAM SEKITAR TERCEMAR,TUDING JARI ATAU SAMA-SAMA MENGUBAH HATI? JOM KITA BACA ARTIKEL DARIPADA NURUL SYAHIRA
TAJUK: LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENANGANI MASALAH MEMBUANG SAMPAH DI MERATA-RATA TEMPAT
Oleh Nurul Syahira 5 Sains
Sedarsawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu segelintir masyarakat yang sering membuang sampah di merata-rata tempat. Hal ini menyebabkan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini seperti sungai dipenuhi dengan sampah dan wujudnya bau yang tidak menyenangkan akibat daripada perbuatan manusia membuang sampah di bahu-bahu jalan. Dalam konteks ini, ibu bapa mempunyai peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak agar menyayangi dan mengasihi alam ciptaan Tuhan ini kerana pendidikan awal penting bagi anak-anak. Sehubungan dengan itu, pendidikan awal adalah antara cara yang paling efektif bagi anak-anak kerana otak anak-anak mudah mengingati seperti span yang menyerap dengan pantas. Walau bagaimanapun, mereka masih mengambil enteng akan perkara ini. Setakat ini, perkara masih lagi sama dan tiada kesedaran diri yang dipupuk dalam diri selepas tindakan diambil. Oleh itu, pelbagai langkah telah difikirkan yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan untuk membendung masalah yang tidak berpenghujung ini agar masyarakat dapat hidup dalam kehidupan yang harmoni dan selesa tanpa sampah.
Pada alam realiti, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa penguatkuasaan undang-undang merupakan cara yang berkesan dalam menangani isu pembuangan sampah yang sudah sebati dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana telah menularnya isu longgokan sampah yang mencemarkan alam sekitar di dalam negara kita yang disebabkan oleh masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Sebagaimana yang telah sedia maklum, kerajaan boleh membuat atau mencipta undang-undang atau akta yang baharu bagi tujuan memperketat lagi undang-undang sedia ada. Seterusnya, kerajaan juga boleh meletakkan denda mengikut kategori berdasarkan sampah yang dibuang. Perkara ini bertujuan untuk mengukir sifat tanggungjawab dalam diri rakyat Malaysia. Antara denda yang boleh dikuatkuasakan ialah bayaran sebanyak RM5000 bagi sampah dibawah kategori sisa makanan. Dengan asbab yang tertera, masyarakat akan lebih peka dan cakna serta masalah pembuangan sampah merata-rata juga dapat dikurangkan hari demi hari secara konsisten. Kita juga dapat mencapai matlamat Malaysia iaitu Malaysia Baru, Malaysia Maju. Dengan ini, masyarakat dapat menjalani kehidupan harian dengan selesa dengan ketiadaan sampah-sampah berlonggokan di tepi-tepi jalan raya. Jadi untuk mengelakkan diri daripada denda yang ditetapkan, bak kata peribahasa Melayu, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Izharlah, bahawa penguatkuasaan undang-undang mampu untuk menangani masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat yang semakin mengambil tempat di dada-dada akhbar.
Umum mengetahui bahawa membersihkan kawasan perumahan secara berkala merupakan perkara yang penting dalam usaha membanteras isu pembuangan sampah daripada terus berleluasa. Oleh sebab yang demikian, gotong-royong secara mingguan perlulah dilakukan di persekitaran rumah dan gotong-royong secara bulanan wajar dilakukan untuk membersihkan kawasan persekitaran perumahan yang melibatkan setiap orang dengan membahagikan tugasan. Hal ini bagi memastikan kawasan persekitaran bersih dan dapat menghindari wabak yang semakin hari semakin menjadi perbualan hangat di bibir masyarakat seperti virus korona yang semakin merebak di Malaysia. Jadi perkara ini merupakan satu cara untuk untuk membendung penyakit-penyakit berjangkit. Sekiranya perkara ini dipraktikkan dan dilakukan secara berterusan pada masa yang akan datang, kawasan persekitaran perumahan akan menjadi bersih justeru dapat merapatkan hubungan silaturahim yang kian renggang dimamah arus peredaran masa. Perkara ini dapat dikaitkan dengan peribahasa, sambil menyelam minum air kerana melakukan dua perkara positif dalam satu masa. Natijahnya, kita sebagai sebuah komuniti perlulah bersatu hati dan berganding bahu untuk menjayakan program gotong-royong ini untuk memastikan persekitaran kediaman terjaga dan terjamin kerana rumahku syurgaku.
Seterusnya, tidak dapat dinafikan lagi dari perspektif yang lain bahawa amalan kitar semula adalah sangat memainkan peranan yang besar untuk menuju ke arah Malaysia berhad sampah. Hal ini dikatakan kerana kitar semula adalah mudah dilakukan dan secara tidak sedar dapat mengurangkan perbelanjaan negara yang ditetapkan untuk aktiviti pelupusan sampah. Perkara ini juga dapat mengurangkan masalah pemanasan setempat yang membelenggu generasi masa kini yang merupakan aset kepada negara membangun yang sering bertanding sengit dengan negara-negara maju di luar sana. Antara sumbangan yang boleh diterima pakai, Pihak Berkuasa Tempatan boleh menyediakan tong kitar semula pelbagai warna untuk memudahkan masyarakat bagi mengasingkan sampah mengikut kategori sebagai satu suntikan semangat kepada mereka untuk mengamalkan kitar semula dengan menganjurkan beberapa pertandingan seperti Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi yang menggunakan barangan terpakai. Hal ini dilakukan agar negara dapat melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif sekali gus mendidik masyarakat untuk berdisiplin. Yang pasti, dengan cara ini kita dapat menangani masalah pembuangan sampah merata-rata.
Namun begitu, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah kempen kesedaran yang boleh dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan kepada masyarakat. Hal ini bertujuan untuk memupuk nilai murni kebersihan dalam diri masyarakat seterusnya mewujudkan sifat menghargai alam sekitar. Sebagai analoginya, terdapat banyak cara untuk memupuk kesedaran masyarakat yang kian hanyut dibawa arus modenisasi. Antaranya, boleh disebarkan melalui media massa,media sosial yang kini seperti bahan bacaan utama masyarakat, dan media cetak seperti majalah dan akhbar. Daripada realiti ini, dapat dikatakan bahawa kempen kesedaran ini berkesan dalam menjadikan alam sekitar bersih dan kita dapat memelihara organisma hidup lain seperti haiwan dan hidupan akuatik. Bertepatanlah dengan kata pepatah bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Nyatalah, kita dapat mencapai tujuan kita pada hari ini iaitu untuk membanteras isu pembuangan sampah di merata-rata tempat.
Secara konklusinya, terdapat banyak langkah untuk mengatasi isu pembuangan sampah di merata-rata tempat. Oleh itu, sudah tiba masanya masyarakat membuka mata dan melapangkan dada untuk bersama-sama menjayakan program-program yang telah ditetapkan dengan lebih serius. Jika tidak, masyarakat kita pada hari ini akan terus tercicir dan tersisih daripada perkembangan perdana dunia pada hari ini dengan harapan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni dan selesa serta dapat menyesuaikan diri dengan era modenisasi dan globalisasi ini. Dengan adanya langkah-langkah ang dinyatakan di atas, diharap Malaysia dapat duduk saka rendah, berdiri sama tinggi sebaris dengan negara-negara bersih lain seperti Sweden sebagai salah satu negara Islam kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Nurul Syahira bt Roslan
5 Sains
MAKSUD TERSIRAT PANTUN "MAKNA MERDEKA SEBENAR" HASIL KARYA AZURA
MAKNA MERDEKA SEBENAR
Mereka kata sudah merdeka,
Kononnya bebas daripada penjajah;
Hakikatnya tak seperti dikata,
Tampak keliru ketika dihujah.
Mereka kata sudah merdeka,
Kononnya bebas dari dijajah;
Hakikatnya pada zahir sahaja,
Kerana kurang jati buta sejarah.
Berlayar bahtera meredah gelora,
Bijak nakhoda mengawal onar;
Berpadu kita melindungi negara,
Itulah makna merdeka sebenar.
Karya
Azura Ibrahim
5 Sains
AZLIYANA MENGAJAK KAWAN-KAWAN MENUNTUT ILMU MELALUI PANTUNNYA
Pantun Ilmu
Manis dimakan buah pulasan,
Teringat pula desa yang di kejauhan;
Carilah ilmu tanpa batasan,
Jauh pemandangan luas pengetahuan.
Buah dikait guna pengalan,
Jatuh di kaki sakit berdenyut;
Malu bertanya sesat di jalan,
Malu mengayuh perahu hanyut.
Jauh perjalanan ke Tanjung Medan,
Singgah sebentar membeli jamu;
Jika mahu dijadikan teladan,
Baiki sikapmu sanjungi ilmumu.
Karya
Azliyana Saad
5 Sains
PANTUN KHAS UNTUK BARISAN HADAPAN ISTIMEWA DARIPADA NADYA
Keteguhan Barisan Hadapan
Indah terlihat di sudut sana,
Dihiasi dengan gelak dan tawa;
Dikala merebaknya wabak durjana,
Mereka teguh menyelamatkan nyawa.
Riang ria si anak tupai,
Menari dansa di atas dahan;
Makin hari makin terkapai,
Mencari sinar menempa harapan.
Jauh perjalanan luas pengalaman,
Pengalaman tersimpan wajar digunakan;
Diri sendiri bukan lagi keutamaan,
Beribu nyawa perlu diselamatkan.
Setiap insan ada kekurangan,
Kekurangan bukanlah satu alasan;
Tugas dilaksana tanpa bantahan,
Hadapi ujian pemberian Tuhan.
Karya
Nadya Alias
5 Sains
PANTUN ALAM SEKITAR NASIHAT BERGUNA DARIPADA MAI SINAN
Pantun Alam Sekitar
Jual di pasaran diborong sakan;
Amalkan sikap mengitar semula,
Agar pencemaran dapat dikurangkan.
Dari teluk telusuri hutan,
Hijaunya gah aneka tumbuhan;
Cantik nan elok bila dilestarikan,
Demi menjaga pinjaman tuhan.
Membawa berita dari muara,
Penuh sisa karat besi;
Laut kita perlu dipelihara,
Agar dirasa semua generasi.
Karya
Mai Sinan
5 Sains
PANTUN PERPADUAN HADIAH DARIPADA NUR ALISA SEMPENA KEMERDEKAAN
PANTUN PERPADUAN
Burung nuri tinggi di awan,
Tikus mati disambar helang;
Negara sejahtera adanya perpaduan,
Rakyat terbilang, Malaysia cemerlang.
Buah dimakan tiada rasa,
Buah dimakan sambil memandu;
Perpaduan penting dikalangan bangsa,
Supaya hidup lebih bersatu padu.
Bersiar-siar di Lahad Datu,
Mengenang peristiwa sukar dilupa;
Negeri makmur bangsa bersatu,
Menjadi lambang bangsa merdeka.
Karya
Nur Alisa Najwa
5 Sains
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Hasil penulisan Vinusha 5 Sains
Merdeka!
Kata-kata keramat yang membawa pengertian yang sangat besar dan bukan setakat yang hanya dilafaz di mulut. Demi sebuah kemerdekaan dari belenggu penjajah, banyak nyawa terkorban di medan perang. Kemerdekaan yang diperoleh pada 31 Ogos 1957, menamatkan penindasan kuasa asing terhadap kita,rakyat Malaysia. Menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat bukan mudah. Pernah dijajah 446 tahun, perjuangan perit generasi lalu perlu kita sentiasa hayati bersama.
Nafas kemerdekaan selama 64 tahun ini membuatkan rakyat Malaysia cukup alpa dengan kebebasan yang kita peroleh.
Penghinaan terhadap negara, mencaci pemimpin negara dan kes-kes jenayah di media sosial sering menjadi tatapan masyarakat.
Kenikmatan kebebasan kian beransur hilang dan kemerdekaan terasa seakan- akan disalah guna oleh masyarakat.
Masih segar di sanubari saya, sewaktu saya masih kecil, jalur gemilang berkibar megah di setiap rumah, pejabat dan kereta namun saya tidak menyedari bahawa itu semua sekadar perbuatan hanya untuk tatapan semata-mata. Apabila Saya menelusuri secara halus,ternyata penghayatan serta rasa cinta akan negara tiada Dalam diri rakyat malaysia. Malahan ia kian pudar hari demi hari namun kini kelihatan ada sinar dalam kelam sebagai penyelesaian untuk membendung masalah ini. Jika dahulu kita melawan penjajah, hari ini kita melawan virus Yang tidak dapat dilihat mata kasar.
Virus Covid-19 memberi tamparan yang hebat kepada setiap rakyat malaysia dan memberi kesedaran makna sebuah kemerdekaan sebenar. Rakyat malaysia gentar dengan pandemik yang menjadi mimpi ngeri seluruh dunia. Setiap hari, baratus-ratus nyawa terkorban di malaysia dan ia membuatkan rakyat Malaysia berjuang bersama-sama tanpa mengira agama dan kaum dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.Tahun ini,negara sedang menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dengan tema 'Malaysia Prihatin'. Tema 'Malaysia Prihatin' bermaksud kebersamaan rakyat Malaysia, berganding bahu memerangi dan melawan COVID-19. Dengan ini, bukan sahaja Kita dapat membendung virus Covid-19 namun dapat menyedarkan rakyat malaysia makna kebebasan sebenar. Semoga penyesalan rakyat malaysia belum terlewat dan nafas kemerdekaan sebenar dapat dihirup dalam waktu terdekat.
Hasil penulisan
VINUSHA A/P SINNAIAH
5 Sains 2021