Thursday, 19 March 2020

Kemaafan(Karya oleh Isha Isha)

Ungkapan seribu maaf tiada maknanya,
Jika kesilapan lalu masih diulang,
Secebis kemaafan begitu bernilai,
Untuk ku beri kepada sembarangan orang.
Namun kau tidak menyelami fitrah ini,
Hatiku disakiti sesuka hati,
Ungkapan maaf kau taburi sekali lagi.
Dalam terpaksa aku rela,
rela  memaafkanmu, hanya kerana kau yang setia disisiku.
Aku tidak tahu,
Selama mana aku mampu menerima maaf darimu.
Aku takut,
Waktu itu hatiku telah terkubur buatmu,
Sedarlah sahabat,
sebelum semuanya terlewat,
Sebelum maafmu tidak ku sambut.

Hasil karya,

Isha isha
4 Sains

Wednesday, 18 March 2020

Aku Seorang Daie( Penulis: Zahir Rusydi )



AKU TIDAK LAYAK !!” jerit hatiku sepuasnya. Aku melihat diri aku dihadapan cermin. Berbaju melayu dan bersongkok. Ustazah Tini telah memilih aku sebagai wakil sekolah untuk Pertandingan Daie Peringkat Daerah. Aku tidak tahu mengapa aku yang dipilih, sedangkan ramai lagi calon yang lebih layak berbanding aku. Ustazah mengatakan ciri-ciri daie itu ada pada aku. Ustazah memberikan aku sebuah buku berkaitan panduan menjadi daie. Aku masih lagi terpinga-pinga dan terkejut atas apa yang berlaku. Sungguh, ini bukan yang ku jangkakan.
   Seusai sahaja sesi persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Fikiran aku bercelaru, mengenangkan apa yang berlaku. Aku masih tidak percaya atas apa yang berlaku. Ibuku menyambut kepulanganku dengan senyumannya yang mesra dan manis itu. Aku meletakkan beg dan menjamah juadah yang disediakan oleh ibuku. Pabila tiba waktu maghrib, aku bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib di surau. Aku menyarungkan baju melayu kesukaanku beserta songkok. Aku melihat diriku di cermin. Aku menjerit sepuasnya di dalam hati “AKU TIDAK LAYAK !!”. Kenapa aku yang dipilih ? Kenapa harus aku yang memikul tanggungjawab dan beban itu. Aku serabut. Aku terus memulakan langkah menuju ke surau. Fikiranku benar-benar terganggu. Aku memang suka bercakap di khalayak ramai, tapi bukan berkaitan agama. Aku tidak layak untuk bercakap berkaitan agama kerana aku sendiri pun seorang yang jahil, sering melakukan dosa. Mana mungkin aku layak untuk menyertai acara daie.
   Selesai sudah solat maghrib, aku mengambil keputusan untuk duduk di surau mendengarkan ceramah sementara menunggu solat Isyak. Kebiasaannya, aku akan terus pulang ke rumah atau ke kedai tapi entah mengapa hatiku hendak duduk di surau pada hari itu. Ceramah itu pula bertajuk “Khalifah Dunia” yang disampaikan oleh Ustaz Syed, ustaz kegemaranku. Mungkin itulah sebabnya aku nak duduk di surau lebih lama agaknya. Ustaz Syed memberikan ceramah dengan penuh bersemangat. Aku berasa teruja tetapi aku menjadi kaku seketika. “Kita di dunia hidup hanya sementara, dakwah itu tanggungjawab kita sebagai manusia. Yang mualaf bila peluk Islam berlumba-lumba nak berdakwah, kita ? Sebut dakwah terus serah dekat Ustaz, Ulama’, Mufti. Teruk.” Aku tersentak, aku terkesima, aku terkedu. Terdiam seribu bahasa. Aku berfikir sejenak, kenapa aku takut ? Sedangkan ini memang tanggungjawab aku. Ya Allah, aku rasa begitu berdosa. Tanpa disedari, air mati mengalir di pipi. Aku berasa insaf.
   Keesokannya, aku terus berjumpa dengan ustazah mengatakan aku bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Ustazah tersenyum memandangku. Aku menjalani latihan selama 2 minggu. Ustazah tidak berputus asa memberikan semangat kepadaku. Sampailah hari yang dinanti-nanti, hari pertandingan. Jantung aku berdegup dengan sangat kencang. Aku membuat persembahan dengan penuh bersahaja. Aku menikmati dan enjoy dengan persembahanku.  Alhamdulillah, fasa yang paling sukar telah selamat ku hadapi. Aku tidak mengharapkan sebarang kemenangan kerana bagiku, ini adalah tanggungjawab. Walaubagaimanapun, Allah lebih mengetahui segalanya. Aku dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Daie. Ya Allah, rezeki yang sangat tak disangka-sangka. Aku bersyukur. Tapi aku harus ingat, bahawa perjuanganku baru sahaja bermula. Melebarkan sayap Islam untuk semua. Itu juga adalah tanggungjawab ku.  Kerana Aku Seorang Daie.
Hasil karya
Zahir Rusydi Bin Roslan (5 Sains)

Bicara pengetua sempena cuti Covid-19

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua warga SMK Jugra Juara.
  
PM telah mengumumkan cuti selama 14 hari mulai 18.3.30- 31.3.20 untuk perintah kawalan pergerakan. Semua murid dikehendaki berada di rumah masing-masing. Sempena cuti yang panjang ini , murid-murid dikehendaki mengulangkaji pelajaran, menyiapkan kerja rumah , belajar secara atas talian , google classroom atau membuat aktiviti yang bermanfaat kepada diri sendiri. Gunakanlah masa,peluang dan ruang yang ada dengan sebaiknya.

 Pada abad 21 ini banyak medium  yang boleh digunakan, seperti ber”face time”, panggilan video ,  Youtube,slideshare mata pelajaran tertentu jika murid-murid ingin belajar secara atas talian.

Apa yang penting usaha dan kesungguhan diri kita untuk belajar.  Saya yakin dan percaya guru-guru SMK Jugra Juara sedia membantu murid-murid untuk membuat ulangkaji atau belajar semasa cuti Covid-19 ini.  Adalah diharapkan agar murid-murid tidak membuang masa dengan bermain telefon bimbit sepanjang masa dan membuat perkara yang tidak berfaedah.

  Saya memohon agar semua warga SMK Jugra Juara sentiasa berdoa agar  dilindungi serta dijauhkan daripada Covid-19 supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

https://twitter.com/501Awani/status/1240257630028759041?s=19






Wadah Ilham

Puan Hajah Rossita binti Ramlan
Pengetua SMK Jugra





Sentiasa bersyukur ( Penulis: Sue Suni)

بسم الله الرحمن الرحيم


Jika yang hanya dituruti hanya nafsu duniawi,
Maka manusia akan jauh dari apa yang disebut cukup,
Dibenaknya dunia adalah segalanya.

Hidupnya bukan untuk ibadah, melainkan menambah harta,

Gaya hidup bergelimang harta, membuat gusar jika tersaingi.

Sebab gaya hidup mempengaruhi rasa syukur seseorang,

Sehebat apapun penampilan kamu,
Semewah apa pun tungganganmu,
Semegah apapun hunianmu,
Jika syukur tak lagi terucap oleh mu,
Maka semua itu tak akan pernah cukup bagimu.

Hanya kematian yang dapat mengalahkan kemewahan,

Hanya ajal yang akan dapat menundukkan kesombongan,
Hanya maut yang dapat membinasakan keangkuhan,
Semoga kita sentiasa bersyukur atas nikmat Allah,
Sehingga kita menjadi manusia yang qonaah.

Hidup dengan apa yang ada,

Bukan memaksakan apa yang bukan seharusnya menjadi bahagian dalam hidup kita.

Nukilan,

Sue Suni

Monday, 16 March 2020

Cintai Sekolah Kita ( Penulis : Sue Suni Tingkatan 5 Sains)


Apakah definisi sekolah bagi anda? Sekolah bukan sahaja tempat untuk menelusuri ilmu, malah telah menjadi rumah kedua bagi kita. Tanpa kita sedari, sepanjang meniti kehidupan kita sebagai seorang pelajar, sekolah ialah tempat yang penuh cerita suka, duka, pahit dan manis. Jika kita boleh mengimbas kembali kenangan yang telah kita wujudkan bersama-sama guru, rakan dan warga sekolah pasti tidak lekang senyuman terukir dibibir.

"Cintai sekolah kita"  bukan sekadar cogankata bagi sekolah malah luas perbahasannya termasuk  aspek kekeluargaan bersama-sama warga sekolah. Terdapat beberapa cara bagi memupuk diri dalam menjadi seorang pelajar yang cinta akan "rumah ilmu".
Antaranya ialah hormat menghormati sesama manusia tanpa mengira kaum. Sebagai murid, kita diwajibkan untuk menghormati guru. Keberkatan ilmu itu datangnya daripada seorang insan yang bernama guru. Jika kita mahu mudah dalam menimba ilmu, hormatilah guru.
Selain itu, cintai sekolah adalah dengan cara menjaga harta benda sekolah. Perlu kita sedari bahawa kemudahan di sekolah adalah dari pihak kerajaan dalam bentuk "percuma". Sedarlah bahawa kita tidak perlu membayar untuk buku teks, meja dan kerusi. Seharusnya kita menjaga barang-barang ini sebaiknya seperti  milik kita sendiri. Apabila berlaku kerosakan, berusahalah untuk memperbaikinya dan apabila dalam keadaan yang baik maka berusaha  mengekalkannya.
Menjaga kebersihan persekitaran sekolah juga adalah salah satu cara kita mencintai sekolah. Kita harus mendidik jiwa kita supaya membuang plastik makanan, cawan minuman atau barang yang tidak digunakan ke dalam tong sampah yang disediakan. Jika tiada tong sampah yang berdekatan simpan di dalam poket seluar atau beg. Sesungguhnya Tuhan melihat segala kebaikan dan keburukan yang kita lakukan. Mungkin kita tidak mengetahui bahawa perbuatan kita boleh memudaratkan orang lain. Maka sedarlah wahai teman.
Tanpa kita sedari, masa amat mencemburui kita. Kita boleh melihat situasi ada murid yang sedang menunggu masa untuk memasuki alam persekolahan. Ada yang sedang menunggu panggilan untuk ke sekolah pilihan dan ada yang sedang mempersiapkan langkah terakhir sebelum melangkah keluar dari alam persekolahan.
Tuntasnya selagi masih ada masa yang diberikan oleh Tuhan, gunakanlah sebaik-baiknya untuk melakukan perkara yang dapat memberi kesenangan dan kemudahan  kepada warga sekolah kerana titik permulaan sebuah "cinta" itu datangnya daripada hati dan perbuatan.
Cintailah sekolah kita sebagai rumah kedua sebagaimana kita cinta akan rumah pertama.

Hasil nukilan
 ~ Sue Suni ~
5 Sains 2020

Saturday, 14 March 2020

Bermulanya satu langkah ( Admin)

Assalamualaikum dan salam sejahtera🔍


Admin bukanlah seorang penulis atau penghasil karya namun timbulnya kesedaran untuk melihat air tangan warga SMK Jugra menghasilkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan bersama maka terhasillah blog Buletin Temasya ini. Terima kasih kepada Puan Hajah Noraishah yang mencetuskan timbulnya idea ini. Mudah-mudahan ruang berkarya ini akan memberikan banyak impak positif dalam kalangan warga Jugra khususnya anak-anak didik SMK Jugra.

~ Admin ~