Wednesday, 18 March 2020

Aku Seorang Daie( Penulis: Zahir Rusydi )



AKU TIDAK LAYAK !!” jerit hatiku sepuasnya. Aku melihat diri aku dihadapan cermin. Berbaju melayu dan bersongkok. Ustazah Tini telah memilih aku sebagai wakil sekolah untuk Pertandingan Daie Peringkat Daerah. Aku tidak tahu mengapa aku yang dipilih, sedangkan ramai lagi calon yang lebih layak berbanding aku. Ustazah mengatakan ciri-ciri daie itu ada pada aku. Ustazah memberikan aku sebuah buku berkaitan panduan menjadi daie. Aku masih lagi terpinga-pinga dan terkejut atas apa yang berlaku. Sungguh, ini bukan yang ku jangkakan.
   Seusai sahaja sesi persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Fikiran aku bercelaru, mengenangkan apa yang berlaku. Aku masih tidak percaya atas apa yang berlaku. Ibuku menyambut kepulanganku dengan senyumannya yang mesra dan manis itu. Aku meletakkan beg dan menjamah juadah yang disediakan oleh ibuku. Pabila tiba waktu maghrib, aku bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib di surau. Aku menyarungkan baju melayu kesukaanku beserta songkok. Aku melihat diriku di cermin. Aku menjerit sepuasnya di dalam hati “AKU TIDAK LAYAK !!”. Kenapa aku yang dipilih ? Kenapa harus aku yang memikul tanggungjawab dan beban itu. Aku serabut. Aku terus memulakan langkah menuju ke surau. Fikiranku benar-benar terganggu. Aku memang suka bercakap di khalayak ramai, tapi bukan berkaitan agama. Aku tidak layak untuk bercakap berkaitan agama kerana aku sendiri pun seorang yang jahil, sering melakukan dosa. Mana mungkin aku layak untuk menyertai acara daie.
   Selesai sudah solat maghrib, aku mengambil keputusan untuk duduk di surau mendengarkan ceramah sementara menunggu solat Isyak. Kebiasaannya, aku akan terus pulang ke rumah atau ke kedai tapi entah mengapa hatiku hendak duduk di surau pada hari itu. Ceramah itu pula bertajuk “Khalifah Dunia” yang disampaikan oleh Ustaz Syed, ustaz kegemaranku. Mungkin itulah sebabnya aku nak duduk di surau lebih lama agaknya. Ustaz Syed memberikan ceramah dengan penuh bersemangat. Aku berasa teruja tetapi aku menjadi kaku seketika. “Kita di dunia hidup hanya sementara, dakwah itu tanggungjawab kita sebagai manusia. Yang mualaf bila peluk Islam berlumba-lumba nak berdakwah, kita ? Sebut dakwah terus serah dekat Ustaz, Ulama’, Mufti. Teruk.” Aku tersentak, aku terkesima, aku terkedu. Terdiam seribu bahasa. Aku berfikir sejenak, kenapa aku takut ? Sedangkan ini memang tanggungjawab aku. Ya Allah, aku rasa begitu berdosa. Tanpa disedari, air mati mengalir di pipi. Aku berasa insaf.
   Keesokannya, aku terus berjumpa dengan ustazah mengatakan aku bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Ustazah tersenyum memandangku. Aku menjalani latihan selama 2 minggu. Ustazah tidak berputus asa memberikan semangat kepadaku. Sampailah hari yang dinanti-nanti, hari pertandingan. Jantung aku berdegup dengan sangat kencang. Aku membuat persembahan dengan penuh bersahaja. Aku menikmati dan enjoy dengan persembahanku.  Alhamdulillah, fasa yang paling sukar telah selamat ku hadapi. Aku tidak mengharapkan sebarang kemenangan kerana bagiku, ini adalah tanggungjawab. Walaubagaimanapun, Allah lebih mengetahui segalanya. Aku dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Daie. Ya Allah, rezeki yang sangat tak disangka-sangka. Aku bersyukur. Tapi aku harus ingat, bahawa perjuanganku baru sahaja bermula. Melebarkan sayap Islam untuk semua. Itu juga adalah tanggungjawab ku.  Kerana Aku Seorang Daie.
Hasil karya
Zahir Rusydi Bin Roslan (5 Sains)

No comments:

Post a Comment