Wednesday, 13 January 2021

Di Bumi Bertuah Ini

Ditujukan khas buat Cikgu Normala, Cikgu Azizah, Cikgu Rokiah dan Cikgu Hasimah Misbah. Semoga kalian selalu bahagia dan ceria.


Wahai guru-guruku

Yang setia menabur bakti,

Mendidik dan mengasuh kami,

Anak muridmu di SMK Jugra,

Di bumi bertuah ini,

Yang menyatukan kita.


Kini tibalah masa,

Yang memisahkan kita,

Perpisahan yang bukan abadi,

Namun melahirkan rasa sedih di hati.


Moga kita bertemu lagi,

Jika kita diberi peluang,

Jika kita diberi kesihatan berpanjangan,

Pada masa akan datang.

 

Walaupun dikau jauh di mata,

Namun dikau akan kekal tersemat,

Di hati warga SMK Jugra,

Jasamu akan kuingat,

Hingga ke akhir hayatku.


Nukilan,

Isha Isha

4 Sains 2020

Tuesday, 10 November 2020

HASIL KARYA MURID TINGKATAN 5 2020 MENJADI KENANGAN TERINDAH


KELAS 5PSV2
GOH WEI YONG

TIE XUE LIN



KELAS 5PSV1
SHALINI A/P KARTHIGESU


AM CHIA MANG



INDUMAATHY A/P RAVICHANDRAN




KELAS 5 SASTERA
UMI AISHAH BINTI LELA

RAJA PUTIH NURMAISARAH

RAJA PUTERI NUR AQILAH


 

Monday, 19 October 2020

Murid SMK Jugra mewarnai pertandingan anjuran PPIM Perhubungan Negeri Selangor

Perintah kawalan pergerakan pemulihan yang dijalankan sepanjang September sehingga Oktober telah memberi ruang kepada murid-murid PPIM SMK Jugra untuk menyertai pertandingan yang dijalankan. Berkat kesabaran , usaha murid-murid ini membuahkan hasil apabila memperoleh kemenangan dalam semua acara yang telah disertai. Berikut dinyatakan senarai pemenang bagi kategori yang dipertandingkan. Murid-murid ini perlu menghasilkan video rakaman dan menghantarkan karya mereka ke panel hakim yang telah dilantik. 

                                                              VIDEO  PERTANDINGAN

Keputusan Pertandingan Online Sekolah Menengah anjuran PPIM Perhubungan Negeri Selangor(September-Oktober 2020)

1. Johan Buku Skrap- Nur Farhana binti Norazman 4Tas

2. Tempat ke-4 Deklamasi Sajak- Nurul Syafinaz binti Yusri 5PVMA

3. Johan Hafazan Men Atas- Nur Aleeya Farhana binti Mohd Khairul Nizam 4 Tas

 Sebelum ini  iaitu semasa PKP pertama di bulan Jun, murid-murid PPIM juga telah berjaya dalam pertandingan online  peringkat daerah dan penyertaan sehingga ke peringkat Negeri. 

Keputusan pertandingan yang disertai murid PPIM  Peringkat Daerah semasa bulan Jun 2020.

1. Powerpoint -Johan (Nur Farhana binti Norazman  4Tas)

2. Esei digital- Keempat(Siti Sue Lyana Fitriyah binti Rosli 5 Sains)

3. Gubahan- Keempat (Nur Fasihatul Husna binti Abdul Aziz 3H)

4. Kuiz - Keempat (Nur Aleeya Farhana binti Mohd Khairul Nizam 4 Tas)

Alhamdulillah tahniah guru-guru PPIM  dan semua murid yang terlibat. Semoga menjadi inspirasi untuk kejayaan pada masa hadapan.


Guru PPIM

Wednesday, 9 September 2020

Sajak: Syukur Penenang Hati

Di bawah Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra, Nur Anishaa Amilia Bt Mohd Azman mewakili sekolah ke Pertandingan ADNI (Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020. 




Tema : Bersyukur

Tajuk : Syukur Penenang Hati


Syukur,

Ungkapan yang sering diamati,

Difahami oleh setiap jiwa hakiki,

Tetapi sukar untuk dihayati.


Ujian pasti ada untuk setiap insan,

Tatkala diri menimpa duka,

Pasti kan terdetik di jiwa,

Kenapa ?

Kenapa hanya aku yang diduga ?


Kita sering mendongak ke langit,

Sentiasa membanding diri,

Dengan insan yang tidak diuji,

Tapi,

Pernahkah kita menunduk ke bumi ?

Melihat ujian yang tidak terperi,

Bahkan dilalui oleh insan yang tidak mengerti,

Tetapi harapan mereka tidak pernah terhenti,

Kerna mereka pasti,

Bantuan akan ada dari Illahi,

Apabila tiba saatnya nanti.


Marilah kita bermuhasabah diri,

Mengenali erti mensyukuri,

Meletakkan Yang Maha Esa di dalam hati,

Pasti hati tidak akan mati,

Kerana kita tahu mensyukuri.


Tuesday, 8 September 2020

Puisi Cinta Malaysia

Pertandingan ADNI ( Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020 ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra. Tahniah Nur Amalina by Halimazhar dari kelas 5 Akaun.





Cinta Malaysia


Malaysia berdaulat Tanah  Malaya,

1957 mula merdeka,

Nenek moyang bergadai harta,

Agar cucunda terlepas derita.


Kasihnya dahulu pemimpin kita,

Berjuang bukan kerana harta,

Sanggup berkorban jiwa dan raga,

Melayu tak hilang Islam dijaga.


Pemimpin silih berganti,

Aspirasi negara tidak terhenti,

Rakyat jelata teguh berdiri,

Menggerak memajukan ekonomi negeri.


Bersatu hati tak kira masa,

Aman harmoni berbilang bangsa,

Elak sengketa musyawarah sentiasa,

Barulah pelabur datang menerpa.


Bangga menjadi anak Malaysia,

Penggerak pendokong wawasan negara,

63 tahun bebas merdeka,

Malaysia prihatin mashyur sedunia.

Tuesday, 1 September 2020

SEMANGAT PATRIOTIK TETAP BERSEMARAK WALAU HARI MERDEKA PPKI SMK JUGRA DISAMBUT SEDERHANA


VIDEO SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PPKI SMK JUGRA


Semangat patriotik tetap bersemarak bagi anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi  SMK Jugra biarpun sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 diadakan secara tertutup dalam norma baharu berikutan penularan virus Covid-19. Sambutan ini diadakan di lobi PPKI SMK Jugra pada 28 Ogos yang lalu. Seramai 30 orang murid dan semua guru PPKI SMK Jugra terlibat dalam sambutan ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor, lagu Sekolah dan lagu-lagu patriotik. Puan Vasundara Devi a/p Perumal Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Jugra berasa sungguh gembira dan bersemangat ketika melaungkan merdeka!

 "Pada saya, sambutan kali ini adalah sangat positif.  Walaupun dalam kita mengamalkan SOP, namun kita berjaya melaksanakan sambutan ini dengan meriah. Merdeka! Merdeka! Merdeka!" kata Cikgu Zul Husni salah seorang guru PPKI SMK Jugra. 

Seorang murid PPKI bernama Amir pula menyatakan perasaan sungguh gembira meraikan Hari Kemerdekaan bersama rakan-rakannya. 


Disediakan oleh,

Cikgu Suzie


Saturday, 25 July 2020

Pertandingan pidato sekolah menengah peringkat Daerah Kuala Langat


 Saksikan video ini
Nur Azura binti Ibrahim dari tingkatan 4 Sains terpilih ke Pertandingan Pidato Sekolah Menengah Peringkat Daerah Kuala Langat bagi tahun 2020. Dalam fasa PKPP ini pertandingan ini diadakan secara atas talian dan murid dikehendaki merakam video mereka dan menghantar rakamannya ke panel hakim. Guru pembimbing beliau Puan Hasimah binti Misbah yang juga guru Bahasa Melayu beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Azura untuk menyertai pertandingan ini. Program ini dianjurkan Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama Persatuan Bahasa Melayu dan PPD Daerah Kuala Langat. Azura melahirkan perasaan risau pada mulanya kerana hanya diberi tempoh tiga hari untuk menghafal karangan pidato yang berjumlah 820 patah perkataan.

Wednesday, 22 July 2020

Pesanan Bonda Pengetua Hajah Rossita

Sama-sama kita dengarkan pesanan daripada Puan Pengetua ,Hajah Rossita binti Ramlan khas untuk anak-anak SMK Jugra♥️




Saturday, 11 July 2020

Gotong Royong Persiapan Pembukaan Sekolah 15 Julai

Sudah pasti debaran makin terasa bagi murid-murid tingkatan 1,2,3 dan 4 untuk bersekolah semula setelah lebih empat bulan tidak bersekolah.Ketika ini mungkin murid sedang sibuk membuat persiapan apabila ada pakaian yang sudah mula ketat, kasut tidak muat dan sebagainya. Pada hari ini ( Sabtu 11 Julai 2020) guru-guru dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hadir bermula jam 7.30 pagi dalam program gotong-royong persiapan pembukaan sekolah yang akan dibuka bermula 15 Julai nanti bagi tingkatan 1,2,3 dan 4. Kehadiran ibubapa membantu dalam program ini amat menggembirakan warga sekolah. Kerjasama yang terjalin pastinya memberikan impak yang positif dalam menjadikan warga SMK Jugra berilmu dan boleh memimpin generasi baru pada masa akan datang. Semangat seperti inilah yang patut dicontohi dan diharapkan terus berkekalan bagi memastikan Jugra Juara!!!Syabas dan tahniah!!!

~admin~

















Tuesday, 30 June 2020

Selepas Buletin Temasya, TV Temasya SMK Jugra pula bakal dilancarkan



'Norma Baharu Warga Jugra Berilmu' merupakan  suatu program yang akan dilaksanakan guru-guru SMK Jugra bagi menghidupkan kembali medan perjuangan menuntut ilmu di sekolah ini. Langkah mewujudkan TV Temasya adalah bertepatan pada saat dan tika ini , di mana guru-guru berada di sekolah manakala anak-anak murid berada di rumah.  Kita nantikan kemunculan TV Temasya yang menggunakan  streamyard youtube bagi meluaskan ruang dan peluang murid-murid menyaksikan guru-guru mereka. Tahniah warga Jugra!!! Kita nantikan program terbaru dalam masa terdekat.

Tuesday, 23 June 2020

Video Simulasi. Selamat Kembali Ke Sekolah Episod 2.

Pembikinan Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah SMK Jugra pada hari ini sehari sebelum sekolah dibuka yang dijadualkan keesokan hari(Selasa 24 Jun 2020) mendapat sambutan daripada guru-guru dan murid-murid. Setelah murid bercuti selama 104 hari murid tingkatan 5 akan kembali bersekolah seperti biasa. Video yang berdurasi selama 7 minit 24 saat ini dilakonkan oleh guru-guru SMK Jugra. Jaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan patuh kepada prosedur yang diarahkan. 

Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah

Video Taklimat pada waktu pagi

Sunday, 21 June 2020

Belakang Tabir Program Al Quran Di Hatiku

    Tabir sudah siap dipasang. Cikgu Yati membantu Cikgu Amy , Cikgu Zah dan Cikgu Nor memasangkan langsir biru tua di bilik Temasya. Semua tersenyum puas. Dalam hati Cikgu Zah "mesti Naqib kelihatan segak semasa siaran nanti" "Muridnya pakai baju warna apa?" Tanya Cikgu Yati. Semua berpandangan. Cikgu Nor cepat-cepat menekan nombor Naqib. "Assalamualaikum Naqib". "Waalaikumussalam Cikgu". "Naqib sudah sampai di mana ni?" "Saya berada di Morib." "Oh. Alhamdulillah. Cikgu nak tanya ni. Naqib memakai baju warna apa ya?" dalam hati berharap bukan berwarna biru tua. "Saya memakai baju berwarna biru". Alamak dalam hati mungkin biru muda. Cikgu Nor sudah risau. "Naqib pakai baju biru apa?" "Oh. Biru tua Cikgu". Bulat mata Cikgu Amy mendengar jawapan Naqib. Semua ketawa kerana berasakan ia lucu apabila membayangkan Naqib akan bersiaran langsung berbaju biru tua dan berlatarbelakangkan tabir biru tua juga. Mesti yang kelihatan hanya muka dan yang lain tenggelam dalam warna yang sama. Masa untuk bersiaran langsung hanya tinggal 20 minit. Cikgu Yati, Cikgu Nor dan Cikgu Amy perlu segera memasang semula tabir yang baru berwarna merah. Mujurlah soalan cepu emas oleh Cikgu Yati mengingatkan tentang warna pakaian Naqib. Banyak perkara perlu diambil serius untuk memastikan program bersiaran secara langsung berjalan lancar. Idea asalnya hanyalah untuk mengadakan program secara google meet. Cikgu Nor meletakkan Buletin Temasya SMK Jugra penganjur bersama Pergerakan Puteri Islam , Persatuan Agama Islam, Unit Kokurikulum dan Persatuan Ibu Bapa SMK Jugra bagi program kali ini . Pada 8 Jun Cikgu Nor menghubungi Ustazah Ida, Cikgu Zah dan Cikgu Amy. Tenaga pengajarnya iaitu Ustaz Raman telah bersetuju. Tiga orang murid juga telah bersetuju. Tajuk program yang asal iaitu Program Tadabbur Al Quran di Hatiku telah ditukar kepada Program Al Quran Di Hatiku Siri 1 Surah Al Fatihah. Pada 9 Jun 2020 Cikgu Nor bertukar fikiran dan mencadangkan kepada jawatankuasa supaya hanya orang penting sahaja menggunakan meet dan ditayangkan secara langsung melalui youtube dan facebook. Pada 11 Jun 2020 percubaan menggunakan google meet mempunyai kelemahan apabila siaran langsung tidak mengeluarkan audio di youtube. Namun semua ahli jawatankuasa tidak patah semangat, malah meneruskan usaha dengan Cikgu Zah cuba menghubungi Abeymat setiausaha e-Didik. Setelah membuat perkongsian ilmu, pihak e-Didik menawarkan pula khidmat untuk bersama-sama menjayakan program ini secara percuma. Sungguh bertuah apabila e-Didik akan turut sama menjadi penganjur bersama program ini.

    Siapa sebenarnya e-Didik? E-Didik adalah sebuah kumpulan yang diasaskan di bawah team sekumpulan sukarelawan guru dan merupakan sebuah team yang menawarkan altenatif sokongan pendidikan kepada para guru di seluruh Malaysia secara percuma. Antara inisiatif yang ditawarkan ialah ID G-Suite menggunakan domain @edidik.edu.my , penganjuran bengkel-bengkel pendekatan,strategi,teknik dan kaedah pengajaran yang membantu guru dalam PdPc, penghasilan modul dan tutorial berasaskan teknologi pendidikan seperti e-rph, m-sims dan PBD online, khidmat jurulatih-jurulatih professional dalam bidang teknologi pendidikan dan pedagogi. Guru boleh membuka akaun di @edidik.edu.my yang mempunyai unlimited storage. Percubaan demi percubaan telah dibuat namun masih banyak kelemahan. Lebih empat kali rehearsal diadakan bersama Cikgu Nor sebagai penyelaras program , Ustazah Ida sebagai Ketua Dakwah, Cikgu Zah sebagai penyelaras on-air dan rakaman, Cikgu Amy sebagai Ketua Pendaftaran dan Sijil, Puan Liana sebagai Ketua Grafik dan Ustaz Raman sebagai Penceramah. Tiga orang murid yang terpilih iaitu Zahir sebagai moderator, Naqib pembaca Surah Al Fatihah dan Aleeya pula dilatih untuk membacakan terjemahannya. Ketika membuat percubaan banyak masalah yang dihadapi . Di antaranya ialah sambungan internet terputus ketika membuat siaran langsung, capaian internet yang perlahan menyebabkan audio dan video yang tersangkut-sangkut, telefon tiba-tiba tidak berfungsi, data internet murid yang tidak mencukupi untuk menyertai streamyard secara langsung. Setelah yakin dengan semua ahli jawatankuasa dan dengan adanya bantuan daripada e-Didik, Cikgu Nor memilih 18 Jun 2020 jam 10.00 pagi sebagai waktu untuk program ini bersiaran secara langsung dan disiarkan ke seluruh negara. Pengetua Puan Hajah Ros juga telah bersetuju. Iklan dan poster juga telah disiarkan di Buletin Temasya SMK Jugra, group telegram, facebook dan instagram. Pada hari Selasa 16 Jun 2020, rehearsal bersama Jurulatih Utama e-Didik iaitu Ustaz Dee diadakan. "Suara Zahir kuat dan jelas. Tetapi latarbelakang Zahir berwarna putih" komen Ustaz Dee. " Putih tidak sesuai dijadikan latarbelakang semasa bersiaran langsung kerana ia terlalu terang dan akan mengganggu imej yang dihasilkan. Zahir tolong tukar ya" komennya lagi. "Suara Ustaz Raman jelas. Ustaz juga perlu menukar latarbelakang yang lebih sesuai. Cara Ustaz meletakkan telefon mestilah landscape bukan potrait . Pastikan skrin telefon tidak menampakkan gambar Ustaz mendongak. Imej Ustaz mesti dapat dilihat separuh badan dari jarak dekat. Pakaian Ustaz juga jangan terlalu terang. Sesuai jika memakai warna gelap dan berbeza warna dengan latarbelakang"pesan Ustaz Dee kepada Ustaz Raman pula. "Berkenaan video pula, video yang Cikgu gunakan ini dari mana ya? Jika daripada youtube, saya harap batalkan video ini kerana ia adalah dianggap meniru copyright daripada youtube. Kami e-Didik pernah dihentikan siaran semasa program berlangsung gara-gara menyiarkan audio dan video yang diambil daripada youtube" jelas Ustaz Dee panjang lebar. "Baik Ustaz Dee. Nanti saya akan pastikan tiada video yang diambil daripada youtube" kata Cikgu Zah. "Masalah besar jika kamu tiada data mencukupi untuk menyertai streamyard room dan program ini akan terjejas. Namun jika berlaku juga dan berlaku juga kesilapan lain, jangan risau kerana ia adalah pengalaman manis buat kamu semua" ayat terakhir daripada Ustaz Dee meyakinkan semua untuk meneruskan program ini. Khamis 18 Jun 2020. Jam sudah menunjukkan jam 10.00 pagi. Program sepatutnya sudah bermula. Ustaz Raman sudah bersedia di surau, Cikgu Zah dari rumahnya bersedia sebagai Penyelaras On-air dan bersama-sama membantu ialah Ustaz Dee daripada e-Didik untuk mengawal perjalanan program. Zahir dari rumahnya, Aleeya dari Kolej Komuniti dan Naqib seorang sahaja dari Bilik Temasya sekolah. Cikgu Nor dan Cikgu Amy membantu di Bilik Temasya. Cikgu Nor dan Cikgu Amy bersedia membawa simkad yang mempunyai data internet sebagai langkah persediaan jika masalah capaian internet berlaku. Tepat jam 10.06 pagi Zahir selaku moderator memulakan program dengan lancar. Walaupun ada sedikit gangguan internet Naqib masih boleh membaca Surah Al Fatihah dengan baik dan suara Aleeya juga jelas. Suara Ustaz Raman jelas cuma adakalanya video ustaz tersekat-sekat disebabkan masalah talian. Program ini bersiaran secara langsung ke seluruh negara. Semasa program berlangsung, ramai yang memberikan komen positif. Zahir pandai memainkan peranan sebagai moderator. Slot penerangan mengenai wakaf prasarana amat jelas. Perjalanan program berjalan seperti yang dirancang diikuti pendaftaran sijil dan akhir sekali tayangan video penutup yang dimasukkan doa khatam Al Quran. Jumlah penonton yang menonton secara langsung di youtube dan facebook melebihi seribu orang. Subhanallah! Teringat hadis Rasulullah S.A.W , 'Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya' . Adakah akan ada siri yang kedua pula selepas ini? Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Catatan oleh, Cikgu Nor 21 Jun 2020 Bandar Baru,Kedah

Video Rakaman Siaran Langsung di youtube

Video Rakaman Siaran Langsung di facebook

 
Video Penutup Yang digunakan 

Friday, 19 June 2020

Selamat Kembali Ke Sekolah Episod 1

Selamat Kembali Ke Sekolah! Vinusha dari kelas 4 Sains melaporkan aktiviti guru-guru sebelum sesi persekolahan yang akan dibuka bagi murid tingkatan 5 pada 24 Jun 2020 ini nanti.












Selepas  seluruh dunia digemparkan dengan penyebaran wabak Covid-19 , hampir semua negara mengambil langkah pencegahan awal dengan memperintahkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Negara kita Malaysia tidak terkecuali dalam mengambil langkah ini mulai 18 Mac 2020 dan murid sekolah turut terkena tempiasnya apabila terpaksa bercuti panjang. Walaupun rata-rata pelajar berasa gembira dengan cuti yang diberikan, namun tidak bagi pelajar tingkatan 5 yang bakal menghadapi SPM pada tahun ini. Walaubagaimanapun mereka harus akur dengan perintah ini dan belajar secara dalam talian dari rumah sahaja. Pada 10Jun 2020, Menteri Kanan Pendidikan Dr.Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 24 Jun 2020 bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam sahaja.

Dalam pada itu, pihak sekolah diberi tugasan mengikut SOP yang ditetapkan untuk memulakan pembersihan sekolah dan mensanitasi sekolah agar pelajar dapat belajar dalam suasana yang bersih dan selamat. Pada 16 Jun 2020 semua pentadbir sekolah, guru-guru termasuk guru-guru PPKI terlibat dalam pembahagian kelas dan pembersihan sekolah bagi menyambung pelajar SPM. Bermula seawal 8 pagi, guru-guru tiba di sekolah dan melakukan pembersihan di kelas-kelas yang ditetapkan. Hanya kelas-kelas di Blok A,D, E dan G yang terlibat dalam sesi pembelajaran bagi pelajar tingkatan 5 dan ini memudahkan guru-guru melakukan proses pembersihan. Guru-guru perlu melekatkan pelekat yang jaraknya 1 meter di antara satu sama lain mengikut SOP yang ditetapkan. Ini bagi memastikan pelajar dapat mengekalkan jarak apabila sekolah dibuka kelak. 

Selain itu, guru-guru juga telah menyusun meja yang berjarak 1 meter dengan jumlah 14 hingga 18 meja bagi satu kelas. Tindakan ini mampu mengelakkan kesesakan dalam kelas ketika pembelajaran bermula. Seterusnya label anak panah turut dilekat untuk pandu arah jalan keluar dan masuk kelas ikut pelan yang ditetapkan. Guru-guru juga mengelap tingkap,meja, kipas dan kerusi kelas agar bersih daripada sebarang kuman.

Bukan sahaja guru dan kakitangan malahan pekerja kantin turut turun padang untuk pembersihan kawasan kantin dan melekat label laluan  kawasan kantin. Semua hadir tiga berturut-turut bagi melakukan pembersihan sebagai persediaan pembukaan semula sekolah. Ini bertujuan muri sekolah kekal patuhi SOP dengan mengekalkan jarak 1 meter dan memakai pelitup muka.


Semangat guru-guru bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid perlu dihargai. Murid akan mula bersekolah pada 24 Jun 2020. Murid juga mesti menunjukkan yang mereka juga bersemangat untuk menimba ilmu. Semoga pembelajaran yang akan bermula nanti dapat berjalan lancar dan bebas daripada sebarang penyakit. Selamat kembali ke sekolah.😊

Penulis:
Vinusha (4 Sains)