Monday, 15 June 2020

PKP..Perjalanan Sebuah Ceritera & Pengalaman oleh Cikgu Paradizes


Cikgu Paradizes kembali menulis lagi. Suatu perkongsian pengalaman yang menarik buat semua pembaca. 

PKP, suatu perjalanan sebuah ceritera dan pengalaman yang begitu panjang dan menakjubkan buatku sekeluarga… Bermulalah sebuah ceritera dan pengalaman yang tidak pernah kufikir untuk kuluahkan dalam ruangan maya  ini. Namun, apa-apa yang berlaku sudah tentu ada hikmah yang begitu besar daripada sang Pencipta. Dan aku yakin, pasti ramai yang mempunyai cerita tersendiri. Cerita yang bisa membuat diri tersenyum apabila mengenangkannya.
Seperti kebiasaan, kepulangan aku sekeluarga adalah untuk menatap wajah suci kedua-dua ibu bapa yang kami sanjungi. Sudah 3 bulan kami berada di perantauan. Rindu kepada mereka dan kampung halaman begitu membuak-buak, seperti ada yang memanggil-manggil. Kebetulan pula, ayahku sudah lama merancang untuk mengadakan majlis solat hajat pada hari Jumaat, 20 Mac 2020 bagi mendoakan kesejahteraan bayi  di dalam kandungan adik perempuan bongsuku.  Sebagai ketua keluarga, memang perancangan balik cuti sekolah kali ini tidak akan lebih dari 5 hari. 2 hari sudah tentu kutolak sebagai hari di jalan raya, disebabkan perjalanan dari Banting ke Kota Bharu biasanya memakan masa 10 hingga 12 jam. Jadi, kami memilih tarikh 16 Mac 2020, iaitu hari Isnin sebagai permulaan perjalanan kami balik ke kampung halaman.
Ya, tarikh 18 Mac 2020, Rabu adalah tarikh keramat  bagi permulaan bagi segala cerita ini. Apabila Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh mengumumkan tarikh tersebut adalah permulaan bagi PKP fasa pertama akibat daripada wabak Corona Virus ( Covid-19) yang tidak mengenal sesiapa, aku mula tersentak dan terkedu. Tak kurang juga kepada ibu bapaku. Dapat kulihat keresahan di balik wajah berkedut mereka sama ada untuk meneruskan atau tidak majlis solat hajat tersebut. Ada dalam kalangan adik beradikku yang memujuk mak ayah kami untuk menunda majlis tersebut. 2 orang adik beradikku terkandas untuk pulang. Seorang di Putrajaya, seorang lagi di Perlis. Demi menjaga perasaan adik bongsuku, majlis solat hajat diteruskan juga. Cuma majlis yang pada perancangan asalnya ingin menjemput AJK masjid, jiran tetangga dan anak beranak dengan jumlah yang agak meriah, bertukar menjadi begitu lesu dengan bilangannya tak sampai 10 orang. Namun, alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan kuasa Ilahi.
Hari berganti hari datang membawa pelbagai persoalan kepada diriku. Antaranya, aku mula memikirkan berapa lamakah tempoh masa yang akan  kusekeluarga harungi di rumah ibu bapaku atau di rumah mertua. Malah, kami sekeluarga hanya membawa pakaian yang kata orang “cukup-cukup makan sahaja”. Apa pula nasib anak-anakku yang tidak membawa apa-apa buku pun. Yang Kak Long, akan menghadapi UPSR. Kak Ngah pula akan menghadapi UPKK. Aku memang rasa kebingungan, rasa terkunci, adakalanya rasa gelisah…Ya Allah, tolonglah hambamu ini..Pada tarikh 23 Mac 2020, ibu saudaraku telah pergi menghadap Ilahi. Terasa bersalah sebab tak dapat melawat arwah sebelum arwah pergi buat selama-lamanya. Bukan kehendak diri, tapi akur pada arahan kerajaan. Pun begitu, aku bersyukur kerana sempat melihat wajah bercahaya arwah pada belah pagi, sebelum arwah dikebumikan. Wajah arwah kelihatan begitu muda berbanding  usia arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh..Amin.
Melangkaui minggu cuti sekolah, aku membuat keputusan untuk bermukim sepanjang tempoh PKP ini di rumah mertuaku. Pada pendapatku,  biarlah isteriku lebih selesa berada di rumahnya sendiri. Lebih mudah untuk isteriku membuka aurat di hadapan mak ayah dan adik beradiknya berbanding berada di rumahku.  Biarlah aku seorang diri yang menjenguk mak ayahku seorang diri. Fasa kedua PKP yang bermula 1 April 2020 menetapkan satu kereta hanya untuk seorang pemandu sahaja. Aku pasrah, walaupun ada masanya, anak-anakku juga ingin mengikut ke rumah atuk yang seorang lagi.
Pada mulanya, aku dapat rasakan yang kami sekeluarga akan bermukim di rumah mertuaku sepanjang PKP ini. Namun, tak sampai seminggu kami di sini, Allah menguji kami. Ditakdirkan air telaga di rumah mertuakan mula kekeringan. Bapa mertuaku cuba memanggil orang kampung untuk menggali telaga supaya lebih dalam dengan harapan air telaga kembali berisi dengan air. Aku pun berdoa agar kemelut air ini akan selesai. Besok muncul lagi. Apabila paip air buka, keadaannya sama juga seperti sebelum telaga digali. Aku keresahan lagi. Terus menjenguk air di dalam telaga. Memang airnya lebih kurang yang sebelum digali. Air yang ada cukup untuk 3 baldi sahaja. Mana cukup untuk dibuat mandi untuk seisi rumah?. Apatah lagi untuk membasuh pakaian. 5 hari seterusnya, kami sekeluarga menumpang mandi di rumah atuk saudara yang tak jauh dari rumah mertua. Sesekali, aku pergi mandi di masjid secara sembunyi-sembunyi. Kadang-kadang, terasa malu juga tumpang mandi di rumah orang lain.
Bak kata pepatah “kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari..” Air di telaga rumah atuk saudara pun kering juga. Aku makin kebingungan. Terus memujuk isteriku untuk bermukim seketika di rumah ibu bapaku. Isteriku setuju untuk berhijrah ke rumah ibu bapaku. Pada 6 April 2020, Isnin, kami nekad untuk berhijrah pada senja hari walaupun kami tahu, risikonya agak tinggi. Kalau ditahan polis, sudah tentu RM1000 akan melayang. Kami sedar, kami telah melakukan kesalahan semasa PKP. Kami melanggar perintah untuk “stay at home”. Namun hakikatnya, kami terpaksa. Aku hanya mampu berserah pada Allah. Alhamdulillah, dengan kekuasaannya, kami sekeluarga selamat sampai ke rumah ibu bapaku. Lagi pun, jarak rumah mertua ke rumah ibu bapaku hanya 18 kilometer, lebih kurang 25 minit perjalanan. Aku menarik nafas lega.
Di rumah ibu bapaku, masalah air bukan isu utama. Cuma…ada beberapa perkara yang aku perlu ambil kira. Pertama sekali, di rumah ibu bapaku, sudah ada satu keluarga adikku yang bermukim, yang senasib  dengan aku. Terperangkap dengan PKP. Kemudian, ada 2 orang lagi adikku yang menetap di situ. Kalau dihitung, jumlah yang menetap di rumah ibu bapaku adalah seramai 16 orang. Keadaan di rumah ibu bapaku agak “meriah” di sebalik rumah yang sederhana besar. Bila bilangan agak ramai, macam-macam peristiwa yang berlaku. Antaranya, cermin kereta ayahku pecah gara-gara perbuatan tidak sengaja anakku. Aku akui, ada di kalangan anakku yang nakal. Tambahan pula, apabila anak-anak jumpa pula dengan sepupu mereka, keadaan kadang kala menjadi agak kurang terkawal. Aku mula rasa tidak sedap hati. Kesian pula kepada ibu bapaku yang terpaksa berhadapan dengan suasana baru ini. Walaupun ibu bapaku tidak bersuara, namun aku faham apabila melihat kekeruhan pada riak wajahnya. Hakikatnya, kedua-dua ibu bapaku kurang sihat. Mereka ada penyakit kencing manis dan darah tinggi. Mereka perlu berehat.
Fikiranku mula tak keruan. Aku mula berfikir untuk balik ke tempatku bekerja di Banting. Tapi, persoalannya bagaimana. Ada tak kurang daripada 20 sekatan polis dan tentera. Macam mana aku nak lepaskan diri. Tambahan pula, aku terpaksa membawa 7 orang penumpang. Apa alasan yang hendakku beri. Aku hanya seorang guru biasa. Sudah tentu, alasannya tidak kukuh. Hari demi hari aku berfikir dan berdoa agar Allah bagi petunjuk. Satu perumpaan yang mudah ingin kusebut di sini, kami sekeluarga seperti “pelarian”. Tiada tempat yang sesuai untuk kami diami. Kami sekeluarga ingin pulang ke Banting. Pernah juga kudengar cerita ada keluarga yang perlu berpatah balik, gara-gara alasan yang tidak kukuh. Aku kebingungan. Berapa lama harus kuhadap dugaan ini. Ya, Allah, bagilahku petunjuk.
Tidak sampai 3 hari aku menetap di rumah  ibu bapaku, tiba-tiba, Allah ketuk pintu hatiku untuk membuat suatu perkara yang tak pernah kufikir. Berhijrah ke suatu tempat yang telah tersedia lama untuk aku sekeluarga. Cuma, aku yang selalu mengabaikannya. Apa yang kumaksudkan, aku sebenarnya telah mempunyai satu rumah yang telah siap dibina di sebuah kampung. Hampir 4 tahun rumah tersebut tersadai begitu sahaja. Memang niatku untuk mendiami di sana apabila ada peluang untuk berpindah balik ke negeri kelahiran kami, iaitu negeri Kelantan. Namun, realitinya bukan mudah untuk berpindah terutamanya ke negeri Che Siti Wan Kembang ini yang agak kebal untuk ditembusi. Kebiasaannya, pada cuti sekolah, kami sekeluarga hanya menjenguk-jenguk sahaja rumah tersebut. Paling tidak pun, aku biasanya ambil kesempatan untuk memotong rumput. Pernah juga, aku berniat untuk menjual rumah tersebut, dek risau dengan keadaan rumah apabila tidak dihuni orang.
Akhirnya, dengan hati yang nekad, aku dan isteri membuat keputusan yang drastik untuk berhijrah ke rumah tersebut. Niat kami direstui oleh  ibu bapaku serta mertua. Memasuki fasa PKP ketiga, tanggal 10 April 2020, hari Jumaat, jam 6:30 pagi, selepas solat Subuh bersama-sama isteri, aku kejutkan anak-anak, dalam keadaan yang belum mandi lagi, dan terus menghala ke rumah yang kami di Kampung Ghertak Kechupu, di Mukim Mentuan. Yang pasti, kami sekeluarga bertawakal lagi kepada Allah dengan melanggar PKP buat kali kedua. Keadaan mendesak kami. Dengan kekuasaan Allah, kami sampai dengan selamat.
Setibanya kami di rumah tersebut, keadaannya cukup menyedihkan. Keadaan sekitar dipenuhi dengan rumput yang panjang, di anjung kereta dan di ruang luar rumah pula, penuh dengan najis musang, pagar pun dah berkarat. Apabila pintu  dibuka, keadaannya masih terkawal, cuma penuh dengan sesawang labah-labah, berhabuk dan ada tempat dipenuhi dengan najis cicak. Tanpa melengahkan masa, aku meletakkan anak-anakku di sebuah bilik yang agak bersih. Aku dan isteri terus membasuh di seluruh ruang di dalam rumah, termasuk ruang tamu, bilik-bilik, dapur dan bilik air. Hampir 3 jam jugalah masa yang di ambil. Anak-anak juga membantu mana yang dapat. Selepas keadaan di dalam rumah agak bersih, kami mengangkut pakaian ke dalam rumah. Memang keadaan rumah agak kosong. Tiada pinggan mangkuk, tiada dapur masak, tiada kuali dan periuk, tiada mesin basuh, tiada apa-apa. Kosong. Yang ada cuma jeriji, lampu dan kipas. Nasib baik Tok Ma memberi langsir yang sedia ada di rumah. Dapatlah kami tutup mana-mana ruangan yang boleh dilihat pada waktu malam.
Di situlah bermulanya satu episod baru. Aku mula mengisi rumah yang kosong itu sedikit-sedikit dengan barang keperluan asas. Ya, sedikit demi sedikit. Dengan duit yang ada, aku guna sepenuhnya. Mengambil masa beberapa hari, alhamdulillah, rumah kami terisi dengan barang keperluan yang sepatutnya ada. Sofa, katil, meja makan, almari dan seumpamanya, In Sya Allah, akan menyusul. Cuma tidak pasti bila?. Semakin hari, kami merasa semakin sayang kepada rumah ini. Masa yang terluang sebelum puasa, kami cuba habiskan dengan membersihkan kawasan rumah semampu yang boleh. Dengan cuti PKP yang agak panjang ini, kami terasa inilah rumah yang kami idam-idamkan selama ini. Terasa ingin berhijrah menetap di negeri kelahiran kami.
Walaupun kerajaan memberi sedikit kelonggaran bagi keluarga yang terperangkap di kampung untuk pulang di tempat mereka bekerja bermula pada 4 Mei 2020, namun kami nekad membuat keputusan untuk kekal menetap di sini sepanjang tempoh PKP, sebelum hari raya menjelma. Hati kami telah terpaut pada rumah yang pernah kami benci buat suatu seketika dahulu. Dalam bulan puasa pun, kami merasa cukup seronok. Apa tidaknya, dapat menikmati juadah makanan di negeri  kelahiran sendiri dan suasana yang meriah walaupun sederhana. Benarlah kata pepatah “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”
Begitulah serba sedikit ceritera dan pengalaman yang sempat kurakam sebagai kenangan terindah sepanjang musim PKP serta PKPB, dan sebelum ku bergerak pulang ke stesen tempatku bekerja pada 8 Jun 2020. Bila terkenang balik, hampir 85 hari tempoh kuberada di kampung halaman! Aku sekeluarga melahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kehadrat Ilahi atas anugerah tidak ternilai ini. Terima kasih ya Allah…permudahkanlah urusan kami untuk balik menabur bakti di negeri kelahiran kami pada suatu masa dan ketika yang lain…Amin.

Karya oleh
Cikgu Paradizes



No comments:

Post a Comment