Hasil penulisan daripada Siti Sue Liyana yang bertajuk Hikmah Covid-19 ini pernah memenangi hadiah tempat ke empat peringkat daerah bagi kategori pertandingan Esei Digital dalam pertandingan yang dianjurkan Persatuan Puteri Islam Malaysia Kuala Langat baru-baru ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada beliau. Semoga terus berusaha dan cemerlang dalam menghasilkan penulisan yang bermutu pada masa akan datang.
Dalam mendepani realiti baharu dunia yang semakin pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sedang berhadapan dengan masalah wabak penyakit Covid-19 yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Wabak ini semakin menular dengan pantas tanpa kita sedari. Seperti yang sudah kita ketahui, wabak ini menular dari Wuhan, China. Sebagai seorang individu yang prihatin dengan keadaan semasa, kita semestinya risau dengan impak yang terus menular ini seakan tiada titik noktah. Tetapi, tahukah anda bahawa selepas hujan berhenti pasti pelangi akan menghiasi langit? Begitu juga dengan keadaan dunia sekarang. Lebih - lebih lagi kes ini masih lagi aktif dalam bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Persoalannya, apakah hikmah Covid-19 ?
Antara hikmah perdananya dapat melahirkan individu yang bersifat prihatin akan kesusahan yang dihadapi oleh insan lain. Contohnya , pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew bukanlah satu nama yang asing dalam dunia dakwah malah cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Ustaz Ebit Lew kini telah mendapat perhatian rakyat Malaysia susulan daripada keprihatinan beliau dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini demikian, dapat membuka mata hati semua rakyat Malaysia khususnya untuk berganding bahu memberi sumbangan mahupun bantuan dalam pelbagai cara. Antaranya dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan harian. Jika sebelum ini rakyat Malaysia seperti katak di bawah tempurung yang tidak mengetahui atau mengambil peduli bahawa masih ramai lagi golongan yang kurang bernasib baik di luar sana. Kini sudah ramai individu yang mengikuti jejak langkah Ustaz Ebit Lew iaitu ikhlas dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan ini. ini. Hal ini, merupakan salah satu hikmah yang tidak dapat dirasai oleh semua individu dan langkah tersebut secara tidak langsung telah membuka pandangan masyarakat luar bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang perlu dicontohi dan dijadiakn sebagai role model bagi masyarakat negara lain. Impaknya negara Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain.
Selain itu, hikmah yang diperoleh melalui wabak Covid-19 ini adalah dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu dalam pelbagai bidang. Hal ini dibuktikan dengan adanya kelas, latihan, mahupun kursus melalui atas talian khususnya terhadap individu yang berminat dan tertentu sahaja. Dengan kecanggihan teknologi kini, mereka boleh mengetahui bahawa di rumah juga mereka mampu melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, ringkas dan sesuai dengan kemampuan diri sendiri. Contohnya seperti mempelajari teknik senaman yang sesuai dan selamat untuk dipraktikan dalam rumah . Oleh hal yang demikian, mereka dapat mempraktikkan ilmu tersebut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah ditamatkan. Kita juga dapat mencuba beberapa resepi baharu yang tidak pernah kita masak. Sebagai contoh, Kuih Tepung Pelita, Kuih Sagu, Kuih Lompat Tikam, Kuih Akok dan Kopi Dalgona iaitu air kopi yang sedang popular sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan wang daripada dihabiskan dengan membeli makanan yang mahal tetapi belum tentu menepati cita rasa sendiri. Hal ini bertepatan dengan cogan kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Disamping itu, mengeratkan hubungan kekeluargaan juga ialah salah satu hikmah Covid-19. Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan kita dapat memanfaatkan masa ketika berada di rumah bersama keluarga tersayang dengan lebih kerap dan penuh bermakna. Kita sering mengeluh kekurangan masa untuk bersama dengan keluarga atas tuntutan hakiki iaitu sibuk berkerja. Apabila kita diberi peluang seperti situasi kini, maka masa dan peluang tersebut tidak harus disia-siakan. Banyak aktiviti kekeluargaan dapat dilakukan di rumah untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Antaranya ialah membaca, menonton televisyen bersama, bermain permainan atau bertukar pandangan bersama ahli keluarga yang lain dengan tujuan merapatkan hubungan dan meningkatkan komunikasi bermakna antara ahli keluarga. Ibu bapa juga dapat memanfaatkan masa tersebut dengan lebih mengenali diri anak-anak mereka. Ibu bapa berperanan sebagai teladan hasanah bagi melahirkan individu yang bersifat penyayang. Pembentukan keluarga yang penuh mawaddah warrahmah dapat ditingkatkan.
Akhir sekali, mendalami ilmu agama juga ialah salah satu rahmat di sebalik dugaan ini. Sebagai contoh, memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Pada waktu inilah ibadah yang dahulunya tidak sempat disempurnakan kerana terlalu sibuk mengejar nikmat dunia dapat digantikan semula atau di qada'. Jika kita sebelum ini, sukar sekali untuk membaca kalam Allah kerana ketiadaan kesempatan waktu, maka pada waktu inilah masa yang terluang perlu diisi semaksimum mungkin dalam kehidupan seharian kita. Semakin banyak kita mempelajari ilmu agama, semakin mantap keimanan seseorang terhadap Pencipta-Nya maka kita akan mengagumi kekuasaan-Nya dengan sentiasa bersyukur dalam meneruskan kehidupan bukan mendabik dada. Hal Ini dikatakan demikian adalah kerana sebahagian daripada rahmat Allah kepada makhluk-Nya termasuk diri saya sendiri dengan dihantarkan sedikit daripada peringatan wabak Covid-19 ini, untuk kembali kepada Allah dan tidak jauh daripada Allah. Sesungguhnya nikmat ibadah itu lahirnya daripada hati yang mengenal dan cinta akan Allah.
Tuntasnya, sebagai seorang individu kita hendaklah selalu melihat dengan mata hati bahawa sesungguhnya kepahitan dan dugaan yang dialami di dunia ini adalah kemanisan di alam akhirat. Hal ini demikian kerana, wabak ini merupakan ketentuan daripada Tuhan. Ahli solihin islam pernah mengatakan bahawa kadangkala nikmat yang besar diberi oleh Allah dengan melalui ujian atau musibah. Sedangkan yang lainnya diberikan - Nya ujian dengan kenikmatan". Ujian serta kenikmatannya boleh diturunkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya, namun untuk merasai nikmat yang diberi melalui ujian tidak semua dapat dirasai oleh individu tersebut.
No comments:
Post a Comment