Saturday, 13 February 2021

WAJIB BACA AMANAT BONDA PUAN HAJAH ROSSITA KEPADA SEMUA CALON SPM SESI 2020

AMANAT PENGETUA

Assalamualaikum dan salam sejahtera anak-anak didik Tingkatan 5 tahun 2020.
Apa khabar semua? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat.
Tarikh keramat 22.2.21 merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua calon SPM 2020 untuk menghadapi peperiksaaan SPM dalam suasana norma baharu.

Puan Hajah Rossita binti Ramlan
Pengetua SMK Jugra
Yakinlah pada diri dan mulalah mencipta sejarah hidup yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya-Allah, Bonda yakin kalian akan beroleh kejayaan sesuai dengan usaha yang dilakukan. Perahu di tangan anda. Pendayung juga di tangan anda. Mudiklah perahu itu ke muara dengan selamat agar dapat mencapai matlamat anda. 
haran kesihatan. Elakkan keluar rumah tanpa urusan penting. Ingat “kita jaga kita”. Didoakan semua anak didik SMK  Jugra dan seluruh Malaysia dapat menduduki Peperiksaan SPM dengan tenang dan tenteram. Ingat pesanan Cikgu Mohd Firdaus mengenai keselamatan peperiksaan SPM 2020.  Buat persiapan awal, contohnya sebelum tidur kad pengenalan dan alat tulis sudah siap sedia dimasukkan ke dalam beg sekolah. Tidur awal supaya boleh bangun awal dan datang ke pusat peperiksaan awal agar  tenang dalam menghadapai peperiksaan SPM.

Segala input, pihak sekolah telah berikan dan pelbagai kaedah pembelajaran telah pun dilaksanakan demi mencapai kecemerlangan anak-anak didik SMK Jugra. Guru-guru juga telah memberi ilmu dalam pelbagai bentuk dan kaedah supaya murid-murid terus bersemangat dan tidak berasa jemu mencapai kecemerlangan. Selain tugas hakiki, guru-guru telah melaksanakan SJOT ( SMK JUGRA ONLINE TEACHING)  sebanyak 31  kali khusus untuk anak-anak  didik SPM 2020 mulai   8.12.20 dengan tagline “ Daripada guru Jugra untuk murid-murid Jugra”. SJOT adalah yang program pertama yang di laksanakan di Daerah Kuala Langat. Tuan PPD Kuala Langat sangat teruja dan berminat dengan SJOT ini sehinggakan terdapat pegawai PPD yang ingin menyaksikan sendiri teknikal SJOT ini dijalankan. Kelas tambahan pun sudah dilaksanakan walaupun hanya 5 hari untuk tahun 2021 kerana arahan sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM 2020 berakhir pada 9.2.21. Insya-Allah akan di sambung semula jika terdapat permintaan daripada  anak didik sekalian namun perlu patuh SOP dan berdisiplin serta istiqomah mematuhi peraturan yang telah gariskan.  Kehadiran ke kelas tambahan hendaklah mengikut masa yang ditetapkan. Kini terpulang kepada anak-anak didik  untuk mencuba sedaya upaya bagi mengangkat prestasi sekolah ke tahap yang lebih baik dalam SPM 2020 secara norma baharu.

Jangan lupa bahawa subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah mata pelajaran yang wajib lulus. Harapan kami menggunung tinggi terhadap anak-anak sekalian agar dapat melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020. Hasrat sekolah ataupun target yang ingin dicapai pada tahun 2020 ialah meletakkan peratus kelulusan sebanyak 74.10% brbanding tahun 2019 iaitu hanya 69.75% dengan GPS sebanyak 5.38 berbanding  5.89 pada  tahun 2019. Jadikanlah kejayaan itu nanti, sebagai pencetus kepada kejayaan-kejayaan generasi yang seterusnya.

 

Bonda  mengambil kesempatan ini untuk mendoakan semoga anak-anak didik SMK Jugra  diberikan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab kesemua soalan dengan baik seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan diri dan emosi . Jangan wujudkan konflik, stress dan sebagainya kerana tindakan tersebut akan mengundang masalah dan menjejaskan persediaan anda semasa menghadapi peperiksaan. Rakan adalah aset yang sangat berharga ketika ini kerana daripada mereka anda boleh memohon bantuan dan berkongsi pandangan tentang sesuatu perkara.

 

Di samping itu, jagalah hubungan anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu , dorongan, rangsangan kepada anak-anak iaitu, guru-guru. Jika masih belum memohon maaf dan restu daripada guru , sila lakukan dengan segera. Memohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka dengan pandangan hormat dan penuh taat. Sebenarnya para guru yang mencurahkan bakti dan tenaga sangat mengambil berat tentang pencapaian anak-anak didiknya dalam peperiksaan . Anak-anak didik  dan guru sememangnya berusaha bersama-sama dalam menentukan sejauhmana pencapaian anak-anak didik  dapat dipertingkat sama ada dalam bentuk penambahan markah atau penambahbaikan gred mata pelajaran. Semua guru mahu anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. Bonda sentiasa menganggap anak-anak didik SMK Jugra bagaikan anak sendiri dan bonda percaya guru-guru lain juga begitu. Dalam proses mendidik sudah tentu yang salah ditegur, yang tidak betul dimarahi. Itulah asam garam dalam menuntut ilmu. Namun, semua guru tidak pernah melupakan anak-anak didik semasa berdoa kepada-NYA kerana kejayaan anak-anak didik adalah kejayaan para guru dan SMK Jugra khususnya. 

Seterusnya , jagalah hubungan anda dengan ibu bapa. Dapatkan keredaan ibu dan ayah, supaya doa mereka mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka. Sesungguhnya doa ibu bapa kita yang ikhlas itu amat mujarab dan pastinya doa yang ikhlas itu datangnya daripada kalbu ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. 

Jangan lupa jagalah hubungan kita dengan Allah. Yang bukan Islam berdoalah kepada Tuhan mereka. Berdoalah kepada-Nya semoga segala usaha kita mendapat berkat dan hidayah daripada-NYA. Berdoalah untuk diri sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan yang lain. Kejayaan mereka juga merupakan kejayaan kita bersama. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan, pastinya yang akan membuahkan hasilnya hanya Allah SWT. 

Cerdik pandai ilmuan Islam, Luqman Al-Hakim pernah berkata “ ilmu tanpa restu guru ibarat si pejuang tanpa senjata. Ilmu tanpa restu keluarga ibarat si pejuang tanpa bala tentera dan ilmu tanpa restu sahabat taulan ibarat si pejuang tanpa kubu dan bentengnya”.

 

Akhir kata jaga kesihatan dan keselamatan diri. Jaga SOP. Jujurlah dalam membuat pengisytiharan kesihatan. Elakkan keluar rumah tanpa urusan penting. Ingat “kita jaga kita”. Didoakan semua anak didik SMK  Jugra dan seluruh Malaysia dapat menduduki Pep SPM dengan tenang dan tenteram. Ingat pesanan Cikgu Mohd Firdaus mengenai keselamatan pepriksaan SPM 2020.  Buat persiapan awal, contohnya sebelum tidur kad pengenalan dan alat tulis sudah siap sedia dimasukkan kedalam beg sekolah. Tidur awal supaya boleh bangun awal dan datang ke pusat peperiksaan awal agar  tenang dalam menghadapai peperiksaan SPM.

SELAMAT BERJAYA.


Doa Untukmu,

Puan Hajah Rossita binti Ramlan



Thursday, 11 February 2021

"KEMERDEKAAN"

 

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri  sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-63 bersamaan tanggal 31 Ogos 2020 yang bertemakan "Malaysia Prihatin" akan menjelang tidak lama lagi. Sebagai salah seorang anak bangsa, kita mesti mengetahui tujuan hari kemerdekaan disambut serta kebaikan dan kepentingannya.  Bahkan ia juga merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan kenang oleh seluruh lapisan masyarakat yang mencintai negara ini.

            Oleh itu, kita mesti menggalakkan masyarakat untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini. Antara usaha dominan ialah ketika murid-murid berada di bangku sekolah, guru memainkan peranan penting untuk memberi didikan kepada  mereka bagi mengethui erti semangat patriotik agar ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian murid.  Bak kata peribahasa melayu "melentur buluh, biarlah dari rebungnya".

          Pada masa yang sama juga, kita dapat melahirkan masyarakat yang tidak mencemerkan imej negara seperti menghina atau memburuk-burukkan negara sendiri. Bukan itu sahaja, pelbagai pertandingan juga akan dianjurkan oleh pihak berwajib seperti mengibarkan jalur gemilang di atas jalan raya ketika perbarisan, menghias kenderaan, melukis poster, pertandingan menulis esei, mewarn dan sebagainya. Aktiviti yang pelbagai ini akan disertai oleh pelbagai bangsa ketika hari kemerdekaan akan mengeratkan lagi hubungan silatruahim antara mereka.

          Oleh hal yang demikian, kita dapat memupuk semangat  perpaduan kaum dalam negara kita. Maka, terciptalah pengalaman menghayati dan mencintai kemerdekaan dengan lebih bermakna dalam diri masyarakat kerana tak kenal maka tak cinta. Selain itu, sambutan hari kemerdekaan juga menjadikan masyarakat memahami sebuah erti perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air kerana mereka merupakan pejuang terbilang untuk menegakkan kemerdekaan tanah air negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa besar. Oleh hal yang demikian masyarakat dapat menghargai dan mengenang jasa-jasa pejuang tanah air kerana perjuangan mereka seperti hancur badan dikandung tanah dan ibarat lilin yang membakar diri sanggup berkorban demi harta, nyawa, tenaga dan meninggalkan insan sekeliling yang disayangi serta dicintai demi kemerdekaan negara tercinta ini.

 

          Jasa dan pengorbanan mereka ibarat gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang. Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat dalam negara ini haruslah bekerjasama antara satu sama lain untuk berazam agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sehingga generasi seterusnya.

          Tuntasnya, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik dalam negara ini perlulah diteruskan sepanjang masa tanpa mengira penat lelah agar semangat patriotik dalam diri masyarakat tidak terhenti. Dengan ini, negara dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai perasaan cinta akan negara. Juga, masyarakat mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan serta mampu memajukan ekonomi mahupun perpaduan negara sehingga negara dapat mencapai kemajuan yang bertaraf dengan negara lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dipupuk sejak bangku sekolah, pastinya negara akan menjadi kacau bilau. Tidak akan wujud masyarakat bersefahaman antara satu sama lain sehingga pergaduhan mula tercetus. Umum untuk mengetahuinya bahawa semua pihak perlu bekerjasama seperti peribahasa melayu bersatu kita teguh, bercerai kita roboh agar masyarakat berjaya memupuk sikap semangat patriotik sehingga mampu diwarisi dalam negara ini.

 

Jenis pertandingan: Esei
Tajuk: Kemerdekaan
Nama: Rossalinda bt Roslan
Kelas:4 Akaun
Alamat email: alhss320@gmail.com

Esei yang dihasilkan murid ini berjaya memenangi johan dalam pertandingan penulisan esei bertemakan kemerdekaan tahun 2020. Tahniah dan syabas.

Wednesday, 13 January 2021

Di Bumi Bertuah Ini

Ditujukan khas buat Cikgu Normala, Cikgu Azizah, Cikgu Rokiah dan Cikgu Hasimah Misbah. Semoga kalian selalu bahagia dan ceria.


Wahai guru-guruku

Yang setia menabur bakti,

Mendidik dan mengasuh kami,

Anak muridmu di SMK Jugra,

Di bumi bertuah ini,

Yang menyatukan kita.


Kini tibalah masa,

Yang memisahkan kita,

Perpisahan yang bukan abadi,

Namun melahirkan rasa sedih di hati.


Moga kita bertemu lagi,

Jika kita diberi peluang,

Jika kita diberi kesihatan berpanjangan,

Pada masa akan datang.

 

Walaupun dikau jauh di mata,

Namun dikau akan kekal tersemat,

Di hati warga SMK Jugra,

Jasamu akan kuingat,

Hingga ke akhir hayatku.


Nukilan,

Isha Isha

4 Sains 2020

Tuesday, 10 November 2020

HASIL KARYA MURID TINGKATAN 5 2020 MENJADI KENANGAN TERINDAH


KELAS 5PSV2
GOH WEI YONG

TIE XUE LIN



KELAS 5PSV1
SHALINI A/P KARTHIGESU


AM CHIA MANG



INDUMAATHY A/P RAVICHANDRAN




KELAS 5 SASTERA
UMI AISHAH BINTI LELA

RAJA PUTIH NURMAISARAH

RAJA PUTERI NUR AQILAH


 

Monday, 19 October 2020

Murid SMK Jugra mewarnai pertandingan anjuran PPIM Perhubungan Negeri Selangor

Perintah kawalan pergerakan pemulihan yang dijalankan sepanjang September sehingga Oktober telah memberi ruang kepada murid-murid PPIM SMK Jugra untuk menyertai pertandingan yang dijalankan. Berkat kesabaran , usaha murid-murid ini membuahkan hasil apabila memperoleh kemenangan dalam semua acara yang telah disertai. Berikut dinyatakan senarai pemenang bagi kategori yang dipertandingkan. Murid-murid ini perlu menghasilkan video rakaman dan menghantarkan karya mereka ke panel hakim yang telah dilantik. 

                                                              VIDEO  PERTANDINGAN

Keputusan Pertandingan Online Sekolah Menengah anjuran PPIM Perhubungan Negeri Selangor(September-Oktober 2020)

1. Johan Buku Skrap- Nur Farhana binti Norazman 4Tas

2. Tempat ke-4 Deklamasi Sajak- Nurul Syafinaz binti Yusri 5PVMA

3. Johan Hafazan Men Atas- Nur Aleeya Farhana binti Mohd Khairul Nizam 4 Tas

 Sebelum ini  iaitu semasa PKP pertama di bulan Jun, murid-murid PPIM juga telah berjaya dalam pertandingan online  peringkat daerah dan penyertaan sehingga ke peringkat Negeri. 

Keputusan pertandingan yang disertai murid PPIM  Peringkat Daerah semasa bulan Jun 2020.

1. Powerpoint -Johan (Nur Farhana binti Norazman  4Tas)

2. Esei digital- Keempat(Siti Sue Lyana Fitriyah binti Rosli 5 Sains)

3. Gubahan- Keempat (Nur Fasihatul Husna binti Abdul Aziz 3H)

4. Kuiz - Keempat (Nur Aleeya Farhana binti Mohd Khairul Nizam 4 Tas)

Alhamdulillah tahniah guru-guru PPIM  dan semua murid yang terlibat. Semoga menjadi inspirasi untuk kejayaan pada masa hadapan.


Guru PPIM

Wednesday, 9 September 2020

Sajak: Syukur Penenang Hati

Di bawah Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra, Nur Anishaa Amilia Bt Mohd Azman mewakili sekolah ke Pertandingan ADNI (Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020. 




Tema : Bersyukur

Tajuk : Syukur Penenang Hati


Syukur,

Ungkapan yang sering diamati,

Difahami oleh setiap jiwa hakiki,

Tetapi sukar untuk dihayati.


Ujian pasti ada untuk setiap insan,

Tatkala diri menimpa duka,

Pasti kan terdetik di jiwa,

Kenapa ?

Kenapa hanya aku yang diduga ?


Kita sering mendongak ke langit,

Sentiasa membanding diri,

Dengan insan yang tidak diuji,

Tapi,

Pernahkah kita menunduk ke bumi ?

Melihat ujian yang tidak terperi,

Bahkan dilalui oleh insan yang tidak mengerti,

Tetapi harapan mereka tidak pernah terhenti,

Kerna mereka pasti,

Bantuan akan ada dari Illahi,

Apabila tiba saatnya nanti.


Marilah kita bermuhasabah diri,

Mengenali erti mensyukuri,

Meletakkan Yang Maha Esa di dalam hati,

Pasti hati tidak akan mati,

Kerana kita tahu mensyukuri.


Tuesday, 8 September 2020

Puisi Cinta Malaysia

Pertandingan ADNI ( Adab Dan Nilai) Peringkat Daerah Kuala Langat 2020 ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Jugra. Tahniah Nur Amalina by Halimazhar dari kelas 5 Akaun.





Cinta Malaysia


Malaysia berdaulat Tanah  Malaya,

1957 mula merdeka,

Nenek moyang bergadai harta,

Agar cucunda terlepas derita.


Kasihnya dahulu pemimpin kita,

Berjuang bukan kerana harta,

Sanggup berkorban jiwa dan raga,

Melayu tak hilang Islam dijaga.


Pemimpin silih berganti,

Aspirasi negara tidak terhenti,

Rakyat jelata teguh berdiri,

Menggerak memajukan ekonomi negeri.


Bersatu hati tak kira masa,

Aman harmoni berbilang bangsa,

Elak sengketa musyawarah sentiasa,

Barulah pelabur datang menerpa.


Bangga menjadi anak Malaysia,

Penggerak pendokong wawasan negara,

63 tahun bebas merdeka,

Malaysia prihatin mashyur sedunia.

Tuesday, 1 September 2020

SEMANGAT PATRIOTIK TETAP BERSEMARAK WALAU HARI MERDEKA PPKI SMK JUGRA DISAMBUT SEDERHANA


VIDEO SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PPKI SMK JUGRA


Semangat patriotik tetap bersemarak bagi anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi  SMK Jugra biarpun sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 diadakan secara tertutup dalam norma baharu berikutan penularan virus Covid-19. Sambutan ini diadakan di lobi PPKI SMK Jugra pada 28 Ogos yang lalu. Seramai 30 orang murid dan semua guru PPKI SMK Jugra terlibat dalam sambutan ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor, lagu Sekolah dan lagu-lagu patriotik. Puan Vasundara Devi a/p Perumal Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Jugra berasa sungguh gembira dan bersemangat ketika melaungkan merdeka!

 "Pada saya, sambutan kali ini adalah sangat positif.  Walaupun dalam kita mengamalkan SOP, namun kita berjaya melaksanakan sambutan ini dengan meriah. Merdeka! Merdeka! Merdeka!" kata Cikgu Zul Husni salah seorang guru PPKI SMK Jugra. 

Seorang murid PPKI bernama Amir pula menyatakan perasaan sungguh gembira meraikan Hari Kemerdekaan bersama rakan-rakannya. 


Disediakan oleh,

Cikgu Suzie


Saturday, 25 July 2020

Pertandingan pidato sekolah menengah peringkat Daerah Kuala Langat


 Saksikan video ini
Nur Azura binti Ibrahim dari tingkatan 4 Sains terpilih ke Pertandingan Pidato Sekolah Menengah Peringkat Daerah Kuala Langat bagi tahun 2020. Dalam fasa PKPP ini pertandingan ini diadakan secara atas talian dan murid dikehendaki merakam video mereka dan menghantar rakamannya ke panel hakim. Guru pembimbing beliau Puan Hasimah binti Misbah yang juga guru Bahasa Melayu beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Azura untuk menyertai pertandingan ini. Program ini dianjurkan Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama Persatuan Bahasa Melayu dan PPD Daerah Kuala Langat. Azura melahirkan perasaan risau pada mulanya kerana hanya diberi tempoh tiga hari untuk menghafal karangan pidato yang berjumlah 820 patah perkataan.

Wednesday, 22 July 2020

Pesanan Bonda Pengetua Hajah Rossita

Sama-sama kita dengarkan pesanan daripada Puan Pengetua ,Hajah Rossita binti Ramlan khas untuk anak-anak SMK Jugra♥️




Saturday, 11 July 2020

Gotong Royong Persiapan Pembukaan Sekolah 15 Julai

Sudah pasti debaran makin terasa bagi murid-murid tingkatan 1,2,3 dan 4 untuk bersekolah semula setelah lebih empat bulan tidak bersekolah.Ketika ini mungkin murid sedang sibuk membuat persiapan apabila ada pakaian yang sudah mula ketat, kasut tidak muat dan sebagainya. Pada hari ini ( Sabtu 11 Julai 2020) guru-guru dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hadir bermula jam 7.30 pagi dalam program gotong-royong persiapan pembukaan sekolah yang akan dibuka bermula 15 Julai nanti bagi tingkatan 1,2,3 dan 4. Kehadiran ibubapa membantu dalam program ini amat menggembirakan warga sekolah. Kerjasama yang terjalin pastinya memberikan impak yang positif dalam menjadikan warga SMK Jugra berilmu dan boleh memimpin generasi baru pada masa akan datang. Semangat seperti inilah yang patut dicontohi dan diharapkan terus berkekalan bagi memastikan Jugra Juara!!!Syabas dan tahniah!!!

~admin~

















Tuesday, 30 June 2020

Selepas Buletin Temasya, TV Temasya SMK Jugra pula bakal dilancarkan



'Norma Baharu Warga Jugra Berilmu' merupakan  suatu program yang akan dilaksanakan guru-guru SMK Jugra bagi menghidupkan kembali medan perjuangan menuntut ilmu di sekolah ini. Langkah mewujudkan TV Temasya adalah bertepatan pada saat dan tika ini , di mana guru-guru berada di sekolah manakala anak-anak murid berada di rumah.  Kita nantikan kemunculan TV Temasya yang menggunakan  streamyard youtube bagi meluaskan ruang dan peluang murid-murid menyaksikan guru-guru mereka. Tahniah warga Jugra!!! Kita nantikan program terbaru dalam masa terdekat.

Tuesday, 23 June 2020

Video Simulasi. Selamat Kembali Ke Sekolah Episod 2.

Pembikinan Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah SMK Jugra pada hari ini sehari sebelum sekolah dibuka yang dijadualkan keesokan hari(Selasa 24 Jun 2020) mendapat sambutan daripada guru-guru dan murid-murid. Setelah murid bercuti selama 104 hari murid tingkatan 5 akan kembali bersekolah seperti biasa. Video yang berdurasi selama 7 minit 24 saat ini dilakonkan oleh guru-guru SMK Jugra. Jaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan patuh kepada prosedur yang diarahkan. 

Video Simulasi Pergerakan Pengurusan Pembukaan Sekolah

Video Taklimat pada waktu pagi