Seloka: Duduk di rumah.
Oleh : Cikgu TJ
Duduk di rumah
Tak perlu bersusah payah
Anak-anak ,ibu dan ayah
Seisi keluarga pupuk mahabbah.
Duduk di rumah,
Covid 19 mungkin dapat dicegah
Perintah Kawalan Pergerakan jangan tak endah,
Kalau punyai gejala segera menyerah.
Duduk di rumah,
Tak perlu ke pejabat atau ke sekolah
Hindari berhimpun atau berjemaah
Kalau keluar jangan lama menyinggah.
Duduk di rumah,
Ibu bapa mula gelisah,
Fikirkan aktiviti yang berfaedah
Kepada anak-anak untuk diarah
Duduk di rumah,
Peluang diberi tingkatkan ibadah,
Kepada Tuhan kita berserah
Terpenjara 14 hari janganlah gundah.
Duduk di rumah,
Tentera dan polis turut dikerah,
Misi dan doktor berpenat lelah,
Agar kematian tidak bertambah.
Duduk di rumah,
Perintah diberi jangan dibantah,
Ikuti arahan dan juga langkah,
Tindakan kecil mampu mengubah.
Duduk di rumah,
Rantaian covid semakin lemah,
Wabak menular tiada arah,
Kempen dicanang moga barakah.
No comments:
Post a Comment