Sedar tak sedar, sudah 5
tahun aku berada di sekolah ini. Sekolah yang dahulunya bukanlah pilihan
utamaku. Tapi entahlah,aku sendiri tidak tahu mengapa
aku memilih untuk belajar di sini. SMK Jugra. Hmm, hanyalah sebuah sekolah luar
bandar atau sekolah kampung. Aku dikategorikan sebagai budak yang pandai sewaktu di sekolah
rendah dahulu. Aku memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Aku juga mendapat
banyak tawaran untuk menyambung persekolahan menengah ke sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah
kluster.
Pelbagai peluang yang murid lain ingini, berada dalam genggamanku
pada tika itu.
Tapi, aku sendiri tidak tahu mengapa aku memilih untuk berada di bumi Jugra
ini. Aku menolak semua tawaran yang aku perolehi. Bahkan guru aku sendiri
pernah mengatakan aku ni seorang yang bodoh kerana melepaskan peluang tersebut. Pada saat itu aku
hanya nekad untuk memilih SMK JUGRA ....Tapi, entah.. Bagai ada sesuatu yang menanti aku di
sekolah ini. Tiada
cerita yang istimewa yang membuatkan aku tertarik untuk belajar di sini.
Mungkin kerana berdekatan dengan kediamanku. Anehnya, aku masih tertarik dengan SMK
Jugra walaupun banyak
sangat cerita yang tidak
baik aku
dengar berkaitan sekolah ini. Cerita itu masih lagi meniti dibibir masyarakat setempat walaupun
perubahan berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu. Biasalah. Sesuatu yang baik
jarang dikenang, kisah yang buruk jadi sebutan walaupun ia tidak lagi relevan
dalam situasi pembangunan yang kian maju. Tapi, aku kuatkan semangat dan aku
telahpun membuat keputusan dan ini adalah keputusan muktamad.PadaMu aku berserah...Aku
bersangka baik setiap pilihan yang Kau berikan.
Kini hampir mencecah 5 tahun aku berada di sekolah ini. Tiada satupun daripada pandangan mataku sesuatu yang cela wujud di sini.
Memang aku sudah jatuh cinta di sekolah ini. Memang aku ditakdirkan menduduki
SPM di sekolah ini.
Aku rasa sekolah ini amat
serasi
denganku. Benarlah
pepatah yang mengatakan "Tak kenal, maka Tak cinta". Guru-gurunya juga sangat
mesra denganku dan melayan aku seperti anak mereka sendiri. Aku menjadi kagum
apabila mendengar cerita yang sekolah ini hanya mendapat pelajar-pelajar
golongan sederhana dalam pembelajaran kerana pelajar yang bijak tidak mahu
bersekolah di sini. Tapi akhirnya, sekolah ini mendapat keputusan PMR/PT3 dan
SPM yang setaraf dengan sekolah kluster di daerah ini bahkan lebih baik lagi. Berbekalkan keyakinan, aku bersemangat untuk
mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang untuk Peperiksaan PT3 dan
Alhamdulillah, aku telah
berjaya
memperoleh 9A untuk peperiksaan PT3.
Walaupun dibanjiri surat tawaran daripada
sekolah-sekolah berasrama penuh, tapi aku menolak dan setia meneruskan pengajianku di sini. Kini aku memasuki aliran Sains Tulen di
sekolah ini. Aku belajar dengan bersungguh-sungguh.Alhamdulillah, aku dilantik menjadi Ketua Pelajar. Banyak
rezeki yang aku perolehi di sini.Banyak juga
ujian dan cabaran sebagai remaja ku tempuh di sini. Di sini, aku belajar apa itu
kehidupan. Aku belajar bagaimana untuk kuat dan bangkit menempuh cabaran.
Sungguh, sekolah ini dan
seisi warganya
telah banyak berjasa kepadaku. Lima tahun di sini seakan-akan tidak terasa
betapa pantasnya masa berlalu. Aku bangga menjadi warga SMK Jugra. Kenapa ?
Kerana ini adalah Sekolahku.
Karya
: Zahir Rusydi Bin Roslan
No comments:
Post a Comment