Tiba – tiba mataku masuk habuk petang ni. Terima kasih cikgu, itu yang dapat aku luahkan apabila mendapat whatsApp daripada anak sulungku. Kakak Najwa menghantar pesanan yang dihantar oleh guru kelasnya. Kata – kata penuh semangat diberikan pada anakku. Menitis air mataku apabila membaca pesanan tersebut. "Mak awak nurse kan? Mak awak wira negara, nanti keadaan dah settle, cikgu nak belanja awak dan keluarga satu bucket KFC tau. Tak terkira jasa mak awak nak dibandingkan dengan cikgu,” Itulah antara ayat-ayat yang ditulis oleh guru kelasnya. "Ya Allah, sebak rasa didada, terharu pula mama baca, kakak Najwa bagi tahu cikgu, mama ucap terima kasih tau." Anak sulungku hanya menjawab okey mama. Aku tahu dia sangat rindukan aku saat ini. Inilah masanya setiap profesion saling melengkapi dan saling membantu. Hati kecilku tersentuh dengan ayat guru itu. Penuh kasih sayang memberi semangat buat puteri sulungku.
"Mak awak hebat, sampaikan ucapan terima kasih cikgu kalau ada kesempatan. Mak yang hebat, anak dia pun mesti hebat juga, Najwa kena kuat tengokkan adik tau. Berperang dengan virus ni bukan orang biasa – biasa je boleh.Kerja macam mama awak ni lah kita semua patut berterima kasih. Mak awak ialah perwira negara. Semoga Allah sentiasa melindungi mama Najwa" Ya Allah, mulianya guru ini. Prihatin sungguh dia kepada anak muridnya. Guru sebeginilah yang menjadi kekuatan kepada anak murid dan aku tidak menafikan betapa layaknya , seorang guru itu digelar ibu bapa kedua kepada murid-murid. Kata- kata itu sememangnya telah menguatkan semangat kakak Najwa. Malahan kata-kata yang ditulis itu telah menyakinkan bahawa Aku bangga menjadi juru rawat. Ku kira program guru penyayang telah mencapai matlamatnya. Seorang murid amat menghargai kata- kata gurunya dan sangat gembira apabila ada guru yang mengambil berat akan dirinya. Aku tahu dia sedih tapi dia tetap tunjukkan sikap tenangnya itu. Allahu ...terasa lega seketika apabila seorang guru turut mengambil berat keluarga kecilku.
Teringat kembali, semasa nama ku dipilih menjadi barisan hadapan. Sedih, bimbang, takut bercampur baur. Namun pabila mengenangkan negara, aku kembali tersenyum, inilah masanya untuk aku buktikan aku sayang negaraku. Kepentingan negara aku dahului daripada kepentingan keluarga. Sama seperti tentera yang berjuang di medan perang demi mempertahankan negara. Cuma tentera melawan musuh, aku merawat pesakit. Malam itu sebelum ke medan perang, sempat juga aku berbual – bual dengan anak bongsu kecilku yang tidak tahu apa- apa. “ Esok mama kena bertugas di Hospital Sungai Buloh tau,” kataku memulakan bicara. “Ala, mama adik nak ikut,” kata Ehsan cuba memujukku. Ada titisan air mata turut membasihi pipinya. “Mama kerjalah sayang” ujarku lagi dengan ceria. Seboleh – bolehnya ingin ku simpan rahsia itu. Tak sampai hati melihat dia menangis mengiringi langkahku nanti. Keesokkannya ku peluk sekujur tubuh yang sedang tidur, ku cium pipinya , ku renung wajahnya sedalamnya. Mungkin berjumpa lagi atau pun tidak. Hanya takdir bisa menjawabnya. Aku bungkam dalam perasaan ini. Ya Allah jagakan dia untukku, selamatkan aku juga agar aku kembali menemui permata hati dan cinta hatiku. Kukucup tangan suamiku. Memohon restu melangkah ke medan perang yang sukar melihat musuhnya. "Abang, maafkan Lisa tau, halalkan makan minum, jaga anak kita baik – baik. Doakan Lisa dapat melakukan tugas ni dengan baik." “Insyaallah ayang, doa abang sentiasa mengiringi langkah Lisa. Lisa pun kena hati – hati tau. Jangan bimbang abang dan anak- anak di rumah."
Dalam beberapa hari berkampung di medan ini ,kekuatan mental kadang- kadang koyak. Sebenarnya aku letih, letih dengan sikap manusia yang tidak berlaku jujur. Petugas frontliner memang terdedah dengan risiko virus ni. Jangan menipu , kasihani kami staf yang bertugas terpaksa dikuarantinkan kerana penipuan. Baru sebentar tadi aku menerima berita sedih ini. Semoga kawan- kawan seperjuangan terus kuat dalam tempoh kuarantin dan semoga resultnya negatif. Jujurlah dalam memberi maklumat. Risiko bukan sahaja pada pesakit malah pada doktor dan jururawat seperti aku. Berpanas sepanjang hari dengan menyarungkan baju plastik lagi. Kadang kala letih, takut nak makan, takut nak balik rumah. Macam – macam perasaan bermain di benak. Belum dikira lagi rindunya pada anak – anak di rumah. Belum dikira lagi rindu pada suami tercinta, Belum dikira dikira rindu pada ibu ayah di kampung. Kekuatan mental dan fizikal perlu seiring agar mental tak koyak dipertengahan jalan. Aku teringat kata – kata yang ku baca dalam majalah solusi. Rasullullah berpesan “ Orang yang pengasih akan dikasihi Allah,”. “ kasihilah penduduk bumi, nescaya kamu akan dikasihi penduduk di langit.” ( Riwayat Ahmad ). Aku susun langkah, ku kuatkan semangat untuk terus berbakti.
Sesekali masa yang terluang ku sempatkan bertanya khabar kepada anak-anak. "Kakak , adik macam mana?, adik nangis tak, tanya aku pada zuriat sulungku itu, pada dialah tempat aku meluahkan rasa. Adik nangis juga rindukan mama. Tapi mama jangan bimbang. papa pandai pujuk adik” ujarnya melegakan perasaan rindu ini. " Mama, jaga diri baik – baik tau. Kakak, adik dan papa sentiasa doakan mama agar mama terus kuat demi negara". Semangat anak kecil ini kuserap sebagai bekal untuk aku harungi cabaran tanpa insan tersayang di sisi.
Hanya kata- kata semangat dijadikan bekalan.. Teringat pesan ustaz Ebit Lew dengan penuh kasih sayang. “ anda semua pejuang berjihad barisan hadapan sekali. Besar nilai seseorang berjihad dijalanNya". Ungkapa jihad dan mencari keredhaanNya jugalah sebagai sumber aku terus bertahan sehingga saat ini."Tiada siapa boleh kira pahala dan kebaikan kakak semua ketika ini. Betapa sayangnya Allah dengan pengorbanan semua. Setiap peluh, letih, pening, lapar semuanya hanya Allah yang balas”. Ujar ustaz. Aku amat terharu dengan bantuan semangat spiritual yang diberikan. Kata- kata ustaz ini, ku pegang dan kusemat dalam lubuk hati paling dalam. Terima kasih ustaz, terima kasih warga Malaysia. Semoga wabak ini cepat hilang kerana aku juga ingin pulang. Pulang ke pangkuan keluarga. Amiin.
Cerpen Mama Pejuang Negara
KARYA
CIKGUGA
CIKGUGA
# I STAYED AT WORK FOR YOU
# YOU STAY AT HOME FOR US
# PKP
No comments:
Post a Comment